About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Sebanyak 31 badan bukan kerajaan (NGO) mempersoal pembentangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 bagi bacaan kedua dalam sidang Parlimen kali ini.
NGO yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Masyarakat Sivil menganggap bacaan kedua rang undang-undang (RUU) itu menonjolkan semula kekurangannya, menjejaskan fungsi suruhanjaya yang dicadangkan itu serta satu pembaziran dana awam.
Kumpulan itu mendakwa ada beberapa bahagian utama RUU berkenaan yang menimbulkan kebimbangan seperti suruhanjaya itu dikehenadi memberikan notis awal sebelum membuat lawatan ke pusat tahanan.
“Kuasa suruhanjaya itu menjadi terhad untuk menjalankan siasatan dan pegawai polis pula boleh menolak untuk bekerjasama dalam sesuatu siasatan dengan memberikan alasan tidak jelas atau sewenang-wenangnya.
“Yang jelas, suruhanjaya itu tiada kuasa untuk memastikan cadangannya dilaksanakan,” kata kumpulan NGO itu dalam kenyataan bersama, hari ini.
Antara NGO yang menolak IPCC adalah All Women’s Action Society (AWAM); Amnesty International Malaysia; Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Community Women & Worker Network (CWWN) serta 13 individu.
NGO terbabit berkata, suruhanjaya itu memberi ‘pengecualian’ tindakan yang diperuntukkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) mengikut Seksyen 96 dan 97 Akta Polis 1967 iaitu memberi kuasa kepada pegawai polis tidak menjawab kepada suruhanjaya itu jika ia boleh mengakibatkan pegawai polis lain dikenakan tuduhan jenayah atau penalti.
Ia termasuk kuasa untuk mendedahkan dokumen sensitif atau maklumat keselamatan negara atau kepentingan negara di peringkat bawahan.
“Dengan menyertakan bahagian ini dalam RUU IPCC, fungsi suruhanjaya itu sebagai badan yang menjalankan pengawasan akan menjadi lebih lemah berbanding dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya.
NGO terbabit berpendapat cadangan IPCC itu ‘lari’ daripada semangat asal penubuhan badan kawal selia dicadangkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2005 selain ia langkah ke belakang daripada versi awal RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diperkenalkan pada Oktober 2019.
Justeru, mereka menggesa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menilai semula cadangan dibentangkan jawatankuasa itu untuk dimasukkan dalam cadangan IPCC.
Sumber: Berita Harian
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.