About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
The Centre for Independent Journalism (CIJ) merujuk artikel terbitan The Star pada 16 Jun 2021 yang berjudul “Residents voice out their thoughts on Rohingya living among them”. Kami sangat bimbang apabila melihat artikel berkenaan membawa retorik berasaskan sentimen perkauman dan xenofobia terhadap pelarian Rohingnya, serta mengwar-warkan stereotaip yang berbahaya dan boleh menjurus kepada kebencian, diskriminasi, dan keganasan terhadap masyarakat yang lemah dan terpinggir.
Artikel tersebut, melalui petikan pandangan beberapa penduduk, menggambarkan pelarian Rohingya yang tinggal di kawasan flat Terubok dengan gambaran stereotaip, iaitu sebagai pengedar atau pengguna dadah, bahkan bersikap ganas dan tidak bertamadun. Bagi melakar imej penduduk Rohingya secara negatif, artikel tersebut hanya mengambil pandangan penduduk rakyat Malaysia sahaja dan tidak memberi peluang kepada penduduk Rohingya menyatakan pandangan mereka. Dengan mengambil kira peningkatan ucapan kebencian yang sering ditujukan terhadap golongan minoriti dan pelarian di Malaysia, artikel tersebut gagal menyediakan gambaran yang adil dan menyumbang kepada gejala momokan dan ucapan kebencian terhadap orang Rohingya.
Kami juga rasa terganggu melihat tidak ada pertimbangan terhadap kedudukan atau komen daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) disertakan dalam laporan tersebut walaupun Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, telah pun menyatakan bahawasanya kementeriannya tidak boleh menjejaki pelarian ini kerana UNHCR dikatakan tidak memberikan maklumat yang mencukupi kepada mereka.
Tujuan hakiki media bukanlah untuk bertanggungjawab pada pemerintah, ataupun kepada mana-mana pihak politik, sebaliknya ianya harus bertanggungjawab kepada kepentingan awam. Tidaklah menjadi maslahat umum sekiranya organisasi media menyumbang kepada wacana yang boleh mendatangkan kebencian dan keganasan terhadap masyarakat yang terpinggir. Begitulah juga sekiranya media digunakan sebagai alat politik untuk mencetuskan sentimen menentang kelompok yang lemah semata-mata untuk mengalih perhatian masyarakat daripada kegagalan pihak pemerintah.
Kepentingan awam lebih terjaga sekiranya media mendalami sebab-sebab mengapa kelompok pelarian dan pemohon suaka berada di Malaysia, kesulitan hidup mereka, serta halangan undang-undang dan struktural yang mereka hadapi sewaktu mereka melarikan diri dari kediaman mereka. Media sewajarnya membantu rakyat Malaysian mendalami isu-isu yang kompleks ini agar suatu solusi struktural jangka panjang dapat direncanakan dan dilaksanakan. Stereotaip, prasangka, pandangan berat sebelah dan ucapan kebencian semakin berleluasa di Malaysia, maka liputan yang bertanggungjawab dan adil adalah penting bagi memastikan media bersikap analitikal, serta mencetuskan dan meluaskan wacana dan perbahasan yang sihat, dan juga menjadi suara dan upaya bagi melawan diskrimininasi dan ketidaksamaan.
Pihak media dan wartawan mempunyai peranan yang penting dalam memperjuangkan hak asasi manusia serta memaklumkan pandangan masyarakat dan dasar berkenaan isu pekerja migran dan pelarian. Malah, mereka juga harus mengelak dan mencegah penyebaran apa-apa maklumat yang boleh memburukkan lagi diskriminasi dan ketidakadilan terhadap komuniti yang lemah dan terpinggir. Oleh sebab itu, kami cukup terganggu melihat artikel berkenaan diterbitkan pada waktu yang sensitif dan mencabar, serta mampu meningkatkan lagi ketegangan dan rasa benci terjadap golongan migran dan pelarian.
Kami menyeru pihak The Star, sebagai suatu saluran media yang terkenal dan mempunyai capaian yang meluas, agar bergerak melalui kepimpinan yang kuat dan beretika, serta:
Kami menggesa kesemua saluran berita untuk menyatakan sokongan mereka terhadap hak golongan migran dan pelarian untuk dilayan seperti manusia yang bermaruah. Daripada menerbitkan kisah-kisah seperti ini, kami mencadangkan The Star dan media-media lain untuk menyumbang kepada latihan dan sumber untuk menggalakkan dialog dan menjadi sebahagian daripada solusi, dan bukannya mengapi-apikan lagi sengketa yang ada.
Pengharapan yang tinggi diletakkan kepada The Star untuk menjadi lebih bertanggungjawab, mengelak daripada naratif partisan, berpandukan fakta, beramanah, seimbang dan lebih beretika dalam laporan mereka. Kami telah pun mengeluarkan surat kepada pihak The Star dan menantikan penerbitan respons balas yang positif dari mereka berkenaan isu ini secepat mungkin.
16 June 2021
Wathshlah G. Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.