About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Organisasi masyarakat sivil yang memperjuangan kebebasan bersuara menyatakan solidariti bersama penganjur perarakan #Lawan kerana berjaya menjalankan suatu protes yang aman dan teratur pada tanggal 31 Julai 2021. Kami mengecam tindakan penyiasatan dan tahanan yang dikenakan terhadap penganjur protes sebelum acara tersebut berlangsung, dan tindakan pihak berkuasa yang memasang penghadang dan menutup jalan bagi menghalang laluan protes, serta gertakan pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap para peserta.
Kebebasan berkumpul dan bersuara adalah hak asasi yang sangat penting dalam memastikan kerajaan bertanggungjawab dan memainkan peranannya dengan baik. Hak-hak ini haruslah dilindungi dan didukung, dan suasana pandemik tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat orang ramai bagi melunaskan hak-hak mereka.
Sejak beberapa minggu yang lalu, Malaysia mengalami ledakan kes COVID-19 yang mendadak sehinggakan kesesakan di hospital dan kematian terus berleluasa, manakala kehidupan seharian juga terjejas dan merudum. Kerajaan telah mengisytiharkan darurat, bahkan mengenakan undang-undang yang menekan dan menutup parlimen. Dalam sesebuah masyarakat demokrasi yang berfungsi, sungguhpun dalam era pandemik, rakyat seharusnya dibenarkan untuk terus menjalankan semak-imbang terhadap kerajaan dalam memastikan mereka menjalankan tanggungjawab mereka, dan hal ini termasuklah melalui cara protes yang tentunya sudah mengambil kira langkah-langkah bagi memelihara keselamatan peserta.
Wakil-wakil daripada organisasi kami, yang turut memperjuangkan hak kebebasan bersuara di Malaysia, telah turun ke dataran sewaktu protes #Lawan berlangsung pada 31 Julai 2021, yang pada awalnya dirancang untuk dilakukan di Dataran Merdeka, bagi memerhati dan mencatat sebarang pelanggaran hak-hak asasi yang berlaku. Para hadirin protes menggesa Perdana Menteri Muhyddin Yassin untuk meletak jawatan, membenarkan sidang parlimen berlangsung, dan melaksanakan moratorium bagi segala pembayaran hutang. Para hadirin protes turut membangkitkan angka kematian daripada wabak Covid-19 yang meningkat sewaktu protes. Perarakan tersebut kemudian berakhir dengan aman sekitar jam 12.35 petang selepas penganjur dan pihak polis mengeluarkan arahan untuk hadirin segera bersurai.
Wakil pemerhati kami mendapati kesemua jalan menuju ke Dataran Merdeka telah ditutup dengan perintang dan hadirin protes tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan dataran. Justeru, mereka menukar haluan mereka dengan berarak ke jalan sekitar Dataran Merdeka dan kemudian duduk di sana sebagai tanda protes.
Menyekat kemasukan ke dalam kawasan awam adalah satu bentuk pelanggaran hak untuk berkumpul secara aman. Penganjur protes telah mengambil langkah-langkah proaktif dan menyediakan garis panduan SOP COVID-19 yang jelas, termasuklah meminta hadirin untuk memakai pelitup muka secara berganda, menjaga penjarakan sosial, tidak berkongsi sepanduk dan selalu mengamalkan mencuci atau mensanitasikan tangan masing-masing. Bagi mendukung hak asasi untuk berkumpul secara aman dan mengambil kira suasana pandemik yang berlaku, polis sewajarnya bekerjasama dengan penganjur untuk membantu perjalanan protes. Penutupan jalan ke Dataran Merdeka sebenarnya menyusahkan lagi hadirin protes untuk mematuhi SOP COVID-19 kerana mereka kini terpaksa duduk di atas jalan raya.
Wakil pemerhati kami turut mendapati terlalu ramai polis yang berkenderaan dan yang berjalan, termasuklah beberapa pegawai polis bersenjata, kenderaan Black Maria dan helikopter yang terbang rendah sewaktu protes berjalan. Pegawai polis yang beruniform dan yang berbaju biasa turut mengambil gambar dan video hadirin protes. Ini adalah bentuk intimidasi yang cuba menyekat hak hadirin untuk berkumpul secara aman dan hanyalah mengganggu dan bukannya membantu perjalanan protes yang aman. Pengawasan yang sedemikian sebenarnya menyekat kebebasan hadirin untuk bersuara dan berpotensi menghalang orang-orang lain untuk melaksanakan hak mereka.
Tindakan yang paling teruk oleh pihak polis ialah penahan dan penyiasatan terhadap penganjur protes sebelum acara protes berlangsung, iaitu berkenaan penahanan aktivis berusia 20 tahun, Sarah Irdina, yang ditahan di bawah Akta Hasutan yang zalim itu. Penganjur protes ini terdiri daripada ramai orang muda, dan kami memuji semangat dan dedikasi mereka untuk berjuang akan nasib negara ini, serta keupayaan mereka menganjurkan satu protes yang aman sungguhpun berhadapan dengan ancaman siasatan, tahanan dan direman pihak berkuasa.
Dialog yang terbuka, telus, dan bertanggungjawab bersama pihak berkuasa adalah sangat penting sewaktu menguruskan krisis kesihatan hari ini. Penelitian dan kritikan terhadap pendekatan kerajaan dalam menguruskan wabak COVID-19 ini — baik daripada kalangan wartawan, pejuang hak asasi manusia, atau lain-lain — adalah baik untuk memastikan kebertanggungjawaban dan maklum balas yang lebih baik daripada pihak kerajaan.
Cadangan
Kami benar-benar terkesan melihat kerajaan Perikatan Nasional yang menyalah guna undang-undang yang menekan, serta dasar dan amalan yang disasarkan kepada sebarang bentuk perlawanan terhadap kerajaan pemerintah. Kami turut memerhatikan kebergantungan pihak pemerintah terhadap pandemik COVID-19 dan dasar Darurat untuk menyekat sebarang perlawan melalui pelaksanaan dasar secara tidak konsisten. Dasar-dasar kerajaan berkenaan COVID-19 tidak diterapkan dengan adil dan saksama, sebaliknya ia digunakan sebagai senjata bagi menyekat mereka yang mengkritik kerajaan dan institusi hari ini. Gabungan undang-undang yang menekan dan suasana COVID-19 ini menjadi senjata yang kerap digunakan bagi membungkam demokrasi, kebebasan bersuara dan pembangunan ruang sivik.
Sebagai rangkaian organisasi masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan bersuara, kami melakarkan tuntutan ini kepada pihak polis Malaysia, yang diketuai Ketua Polis Negara, serta pihak-pihak berkuasa yang lain:
Jangan melakukan sebarang intimidasi, penahanan dan gangguan terhadap penganjur dan peserta protes yang hadir hari ini.
Menghentikan segala siasatan dan dakwaan terhadap penganjur dan mereka yang terlibat secara serta merta. Sebaliknya, pihak polis seharusnya mengambil langkah proaktif untuk menyokong dan membantu hak untuk berkumpul dan menyediakan perlindungan kepada mereka.
Kami juga ingin mengingatkan Ketua Polis Negara bahawa pihak polis seharusnya bersikap berkecuali dalam melaksanakan tugas mereka kepada rakyat. Tindakan PDRM, serta respons dan kegiatan mereka haruslah berpandukan piawai hak asasi manusia di peringkat antarabangsa bagi mengelak pencabulan hak asasi dan kebebasan yang dimiliki rakyat.
Menghentikan segala taktik yang menyasarkan peserta protes aman ataupun pengkritik kerajaan. Tindakan-tindakan sebegini boleh menyebabkan kesan jangka panjang yang tidak sihat buat pembentukan demokrasi dan ruang sivil. Pihak berkuasa sewajarnya mengambil langkah yang jelas untuk menghormati, melindungi, dan melunaskan janji antarabangsa Malaysia untuk menyediakan ruang kepada peserta protes untuk berkumpul secara aman, serta membantu perhimpunan tersebut supaya peraturan penjarakan sosial terjamin sepertimana yang disarankan oleh WHO.
Latar belakang
Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengumumkan pada 21 Julai 2021 bahawa mereka akan menjalankan satu protes di Dataran Merdeka pada 31 Julai untuk membantah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional dan cara pengurusan mereka dalam menangani wabak COVID-19. Intimidasi terhadap penganjur #Lawan telah bermula sebelum pengumuman ini dibuat lagi.
Sungguhpun intimidasi dan gangguan dari polis terus berlaku, SSR memutuskan untuk terus menjalankan protes dengan langkah-langkah keselamatan yang teliti bagi memastikan perarakan menuruti SOP COVID-19. SSR juga turut meminta bantuan Bar Council Human Rights Committee (BCHRC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), dan NGO FoE untuk menghantar pasukan pemerhati hak asasi manusia sewaktu perhimpunan. Penganjur juga meminta bantuan nasihat undang-undang untuk membantu mewakili mereka sekiranya berlaku penahanan.
Ditandatantani oleh organisasi masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan bersuara:
1. Amnesty International Malaysia
2. ARTICLE 19
3. Centre for Independent Journalism
4. Freedom Film Network (FFN)
5. Gerakan Media Merdeka (Geramm)
6. Justice for Sisters
7. KRYSS Network
8. Sisters in Islam
9. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.