About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
SEBANYAK 80 siasatan polis dibuat terhadap pelbagai tunjuk perasaan Lawan antara 17 Julai dan 20 Ogos, kata kumpulan hak asasi manusia.
Angka itu merangkumi 28 individu yang dipanggil untuk disoal siasat antara 2 dan 8 Ogos, kata Thulsi Manogaran di Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) semasa sidang media dalam talian dengan kumpulan lain yang melancarkan Laporan Pemantauan Protes Lawan hari ini.
Thulsi menambah, jumlah itu juga termasuk siasatan dan tangkapan yang dilakukan sebelum perhimpunan diadakan dan menyebutnya sebagai bentuk intimidasi untuk menghalang kebebasan bersuara terhadap kerajaan.
Mereka juga melanggar kebebasan untuk bersuara dan berkumpul, katanya dan aktivis lain.
Mereka tidak memberikan perincian siasatan lain.
Siasatan ke atas 28 individu itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah pada 1 Ogos yang mengatakan mereka sudah dikenal pasti dan dipanggil untuk diambil keterangan.
Siasatan diadakan sejak tunjuk perasaan Lawan diadakan di Dataran Merdeka yang dianggap oleh polis melanggar prosedir operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penyebaran Covid-19.
Perhimpunan itu yang mengumpulkan lebih 2,000 peserta yang kebanyakannya golongan belia, menurut penganjur Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), diadakan untuk menuntut peletakan jawatan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin, persidangan semula Parlimen dan moratorium pinjaman bagi meringankan beban kewangan disebabkan wabak berkenaan.
Sebelum itu, perhimpunan juga diadakan di Dataran Merdeka pada 17 Julai bagi menunjukkan protes terhadap tindakan kerajaan menangani wabak, di mana peserta himpunan membawa bendera hitam dan membawa replika mayat menggambarkan mangsa Covid-19 yang terkorban.
Tunjuk perasaan lain diadakan pada 24 Julai dalam bentuk konvoi kenderaan di pelbagai negeri di mana peserta meletakkan bendera hitam di kenderaan mereka bagi menunjukkan protes terhadap kerajaan.
Penunjuk perasaan kembali berkumpul di Dataran Merdeka pada 19 Ogos dengan menyalakan lilin dan meletakkan bunga ros bagi memperingati kematian mangsa Covid-19 dan mengecam tindakan kerajaan yang gagal menangani wabak.
Polis menahan 31 individu yang terdiri daripada orang awam dan mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang. Dana dikumpulkan daripada orang ramai untuk membantu mereka membayar saman berkenaan.
Source: The Malaysian Insight
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.