About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Sebanyak lapan badan bukan kerajaan (NGO) bersama kumpulan masyarakat sivil menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat bagi menolak Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di Parlimen hari ini.
Jurucakap NGO berkenaan berkata, RUU IPCC akan menggagalkan usaha bagi memastikan pertanggungjawaban pihak polis, memandangkan IPCC mempunyai kuasa lebih lemah berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
“IPCC akan menjadi kurang efektif daripada EAIC yang sudah sedia lemah. Sekiranya IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja adalah sebiji kelapa, IPCC pula hanyalah sabutnya sahaja,” katanya.
Menerusi memorandum tersebut, pihak NGO telah mencadangkan sekali lagi kelemahan besar yang akan menjejaskan fungsi badan penyeliaan dan menjadikan badan tersebut tidak relevan serta satu pembaziran dana awam.
“Isu ini termasuk kuasa menyiasat dan skop terhad serta tidak efektif, keperluan notis awal untuk lawatan yang menjadikan ia tidak efektif, kemudian tiada kuasa untuk geledah dan rampas.
“Untuk pasukan bertugas, kuasa terhad untuk memanggil saksi dan penyerahan dokumen, kemudian kuasa penguatkuasaan yang terhad, kekurangan kebebasan suruhanjaya,” menurut mereka.
Menurut mereka, unsur penyeliaan sepatutnya wujud dalam suruhanjaya itu ialah mandat jelas untuk menerima, memulakan dan membuat siasatan penyalahgunaan kuasa yang serius oleh polis.
Selain itu, sebuah suruhanjaya tidak berat sebelah yang telus, serta mempunyai kuasa efektif untuk menyiasat dan memulakan tindakan.
“Kesimpulannya terbukti bahawa Rang Undang -Undang IPCC telah tersasar daripada semangat asal penubuhan badan kawal selia dan sekiranya diluluskan akan melemahkan mekanisme yang sedia ada sekarang.”
Turut kelihatan dalam sesi penyerahan memorandum tersebut, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Mas Ermieyati Samsuddin dan kemudian diberikan kepada wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Antara NGO yang menolak IPCC adalah Amnesty International Malaysia, Article 19, Centre for Independent Journalism (CIJ), Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT), Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Source: Free Malaysia Today
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.