About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2021, Centre for Independent Journalism (CIJ), dengan sukacitanya menyambut dan meraikan pelbagai pencapaian barisan aktivis dan pembela hak asasi manusia dalam mempertahankan hak-hak kemanusiaan, terutamanya cabaran berkaitan dengan Kebebasan Bersuara (FOE). Hari Hak Asasi Manusia ini disambut di peringkat antarabangsa pada tanggal 10 Disember setiap tahun. Tarikh ini dipilih bagi memperingati proklamasi dan dukungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada 10 Disember 1948, terhadap Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Pada hari ini kami memperingati segala usaha, kesungguhan dan keberanian barisan aktivis, serta segala cabaran getir yang kekal wujud untuk rakyat melaksanakan hak asasi mereka.
Sepanjang tahun 2021, tinjauan CIJ mendapati berlaku peningkatan yang mendadak terhadap penggunaan undang-undang yang menekan seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia bagi menutup suara-suara dan pandangan yang bertentangan. Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) juga mendapati terdapat sekatan dan tekanan terhadap hak asasi manusia sewaktu berdepan dengan wabak Covid-19. Pihak berkuasa kerap menggunakan pendekatan berbentuk intimidasi dan senarai berikut mencatatkan bilangan kes melibatkan ramai individu yang disiasat di bawah undang-undang yang menekan dan menindas serta lapuk pada tahun 2021:
Januari sehingga November 2021 | Senarai undang-undang yang menindas berdasarkan pemantauan media kami |
140 | Kejadian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (mensabitkan kesalahan menggunakan kemudahan dan bekalan dalam talian, etc) |
19 | Kejadian di bawah Akta Hasutan 1948 (mensabitkan kesalahan bagi segala perbincangan yang dianggap sebagai menghasut) |
32 | Kejadian di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mensabitkan kesalahan bagi hinaan dengan niat untuk mencetuskan kekacauan) |
35 | Kejadian di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mensabitkan kesalahan bagi kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam) |
1 | Kejadian di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 (mensabitkan kesalahan bagi penyebaran maklumat yang disifatkan sebagai rahsia rasmi ) |
0 | Kejadian di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 (mentadbir urus penggunaan penerbitan bahan cetakan) |
9 | Kejadian di bawah Akta Perhimpunan Awam (PAA) 2012 (mengawal bantahan awam) |
30 | Kejadian di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu ) (No. 2) 2021 [EO2] (mensabitkan kesalahan bagi “berita palsu ” berkaitan COVID-19 atau Pengisytiharan Darurat 2021) |
Huraian: Data dan statistik yang dibentangkan dalam laporan ini dikira melalui pemantauan CIJ terhadap laporan media dalam talian dan ada kemungkinan tidak meliputi kesemua kes di bawah undang-undang yang disebutkan. Oleh itu, data kami mungkin berbeza dengan statistik rasmi kerajaan atau data daripada organisasi hak asasi manusia yang lain. Tambahan lagi, skop tinjauan kami tidak meliputi semua undang-undang yang disifatkan menekan yang digunakan di Malaysia bagi menyekat FOE, seperti undang-undang keselamatan dan jantina atau undang-undang berkaitan dengan jenayah seksual. Justeru, senarai yang panjang ini tentunya tidak lengkap kerana terdapat lebih banyak individu yang disiasat dan didakwa di bawah pelbagai undang-undang yang menekan. Sekiranya senarai kes-kes dibaca secara menyeluruh, hal ini menunjukkan bahawasanya wujud skema tindakan yang besar, sengaja dan terancangan bagi menyekat kebebasan asasi rakyat.
Malaysia juga kini berjaya menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Oktober yang lalu dan telah mengumumkan komitmen mereka untuk mendukung hak asasi manusia, maka pihak kerajaan haruslah menjalankan tindakan yang konkrit dan telus bagi meningkatkan rekod hak asasi manusia di negara ini. Komitmen yang dibuat di peringkat antarabangsa ini tidak harus menjadi sekadar retorik semata-mata dan harus segera diterjemah ke dalam bentuk tindakan dan pembaharuan di peringkat nasional.
Antara perkembangan positif yang berlaku baru-baru ini adalah pihak kerajaan kelihatan terus komited untuk meneruskan rancangan bagi merangka hak persekutuan untuk perundangan maklumat yang bakal memberikan akses buat rakyat terhadap maklumat dan data umum. Hari ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), dan CIJ telah bekerjasama bagi menganjurkan forum Hak untuk Mendapatkan Maklumat (RTI) bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia (IHRD). Forum ini bertujuan untuk menyediakan ruang bersama bagi menyumbang kepada pembentukan kerangka undang-undang hak untuk bermaklumat yang selaras dan sejajar bagi mendepani cabaran-cabaran di Malaysia, serta mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap hala tuju bagi mempromosi dan mendukung hak untuk bermaklumat melalui perundangan yang sesuai.
Dengan semangat yang sama, kami turut menggesa agar pihak kerajaan segera menunjukkan jalan pembaharuan di Malaysia tidaklah buntu dan mereka terus komited untuk mengamalkan tadbir urus yang baik dan bertanggungjawab berdasarkan rasa hormat kepada hak asasi manusia sejagat dan kebebasan bersuara, berkumpul, berucap dan hak untuk mendapatkan maklumat.
Selaras dengan hasrat ini, pihak kerajaan haruslah segera menjamin dan mendukung perkara-perkara berikut:
Sementara itu, kami juga menjemput semua untuk hadir esok, Sabtu, 11 Disember 2021, dari jam 12.00 pm sehingga 6.00 pm bertempat di NU Sentral Shopping Mall, Kuala Lumpur, bagi menyambut Hari Hak Asasi Manusia 2021 dengan acara yang dianjurkan bersama oleh CIJ, Article 19, SUARAM, KRYSS Network, MCCHR, Sinar Project, GERAMM, Freedom Film Network, dan Sisters in Islam. Tema untuk sambutan tahun ini adalah “Merakyatkan Hak Asasi Manusia”, dan kami bakal memaparkan aspek-aspek hak asasi manusia yang selalunya dipinggirkan. CIJ juga akan mengeluarkan Laporan Status Kebebasan Bersuara (FOE) 2021 bersempena Hari Hak Asasi Manusia 2021.
10 Disember 2021
Wathshlah Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Shahirah Hamid di comms@cijmalaysia.net.
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.