About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengecam dengan keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dilaporkan cuba memadam paparan Twitter yang bersikap kritikal terhadap kegagalan tindakan kerajaan dalam menguruskan situasi banjir, terutamanya di kawasan Lembah Klang, Dengkil dan Hulu Langat. Menurut laporan berita, SKMM telah melaporkan beberapa tanda pagar kepada Twitter sebagai “lucah”, dan harus mematuhi Seksyen 233 Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.
Kebebasan bersuara (FOE) termasuk hak asasi untuk mencari dan bertukar-tukar pandangan, idea dan maklumat yang membolehkan mereka membentuk pandangan mereka sendiri. Kebebasan ini juga harus membenarkan pandangan yang berlawanan dan alternatif, terutamanya berkenaan isu-isu awam, serta menggesa ke arah tadbir urus yang baik dengan memastikan pemerintah terus bertanggungjawab. Justeru, sebarang kritikan, perbezaan dan pandangan yang berlawanan terhadap kerajaan harus dilindungi dan suatu bentuk ekspresi yang sah.
Sekatan dan had yang dikenakan ke atas sebarang bentuk ekspresi dalam bentuk undang-undang haruslah jelas dan didefinisikan dengan ketat dan juga bertujuan untuk menjaga kepentingan awam. Malah, sebarang sekatan terhadap ekspresi dan ucapan harus mengambil kira piawai antarabangsa yang umumnya telah diterima sebagai panduan bagi prinsip dan alat hak asasi manusia. Ujian bahaya atau ‘harm test’ juga harus dilaksanakan bagi mengenal pasti kepentingan, kekadaran dan kesahihan di sisi undang-undang dan hanya apabila kesemua kriteria sudah dipenuhi barulah sekatan boleh dikenakan.
Usaha bagi menyekat pandangan berlawanan dan kritikan terhadap kerajaan yang bertujuan untuk mencabar dan memastikan kerajaan bertanggungjawab adalah tidak selaras dengan sebarang dakwaan untuk melindungi kepentingan awam atau mendukung demokrasi di negara ini. Menapis pandangan yang berlawanan dan kritikal tidak seharusnya menjadi kelaziman – sungguhpun ianya memburukkan imej kerajaan. Peranan kerajaan adalah untuk mendukung demokrasi dan membenarkan suara-suara yang berlawanan untuk didengari dan diteliti, biarpun ianya bersikap kritikal terhadap dasar kerajaan atau menyentuh kegagalan pengurusan kerajaan. Perbahasan yang sihat dan penting dalam proses penentuan yang terdidik, haruslah digalakkan dan bukannya disekat atau dijadikan jenayah – dan hal ini termasuklah membenarkan perbincangan-perbincangan yang sukar dan harus didengar pemerintah agar mereka dapat menambahbaik gerak kerja mereka.
Kami turut bimbang melihat Seksyen 233 KKMM kerap digunakan bagi mendiamkan suara-suara yang kritikal. Seksyen 233 KKMM sangat bermasalah kerana definisinya yang terlalu meluas dan hukuman yang berat sehingga melanggar hak perlembagaan FOE. Seksyen ini membenarkan untuk seseorang dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun dan didenda sehingga RM50,000 atas sebab membuat paparan yang berunsurkan kebencian yang melukakan perasaan orang lain. Hal ini telah melangkaui sekatan yang sah yang dibenarkan dalam FOE, antaranya seperti ucapan yang mengajak kepada keganasan atau mengancam keselamatan nasional. Undang-undang ini hendaklah tidak digunakan secara semberono oleh pemerintah. Tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya 236 orang yang dikenakan tindakan melalui 140 kes siasatan polis, ditahan dan didakwa melalui Seksyen 233 KKMM, menurut data pemerhatian media.
Mana-mana kerajaan yang pantas menggunakan radas pemerintah bagi menutup suara-suara dan pandangan berlawanan harus dilihat sebagai ancaman kepada sistem demokrasi yang berfungsi. Suara-suara kritikal adalah nadi bagi proses ketelusan dan kebertanggungjawaban untuk menyemak imbang kuasa pemerintah – terutamanya kini menjadi sangat penting apabila negara berdepan dengan krisis banjir. Ketua pemerintah dan pegawai-pegawai kerajaan harus menerima kritikan rakyat kebanyakan dengan hati yang terbuka. Pihak kerajaan seharusnya tidak boleh lari daripada akibat tindakan mereka dan tiada pengecualian hukuman terhadap mereka yang menyeka kebebasan berpendapat dan bersuara melalui ancaman, gangguan dan keganasan.
CIJ juga bimbang melihat keutamaan SKMM sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan komunikasi sewaktu berdepan dengan krisis nasional yang cukup merisaukan dan telah meragut banyak nyawa dan kerosakan harta benda serta mengganggu hidup ribuan rakyat biasa. SKMM sewajarnya memainkan peranan yang lebih proaktif bagi menguruskan maklumat untuk usaha menyelamat apabila komunikasi di beberapa tempat telah pun terjejas.
Tindakan SKMM bagi menapis maklumat yang berkaitan dengan banjir bukan sahaja biadap dan tidak menghormati keadaan mangsa banjir, bahkan menggambarkan sikap sebenar mereka terhadap demokrasi dan hak untuk berwacana akan hal-hal yang penting buat orang awam. Dalam konteks hak asasi manusia yang meluas, CIJ juga terkejut melihat Kementerian Komunikasi dan Multimedia digunakan sebagai pelindung bagi melindungi kegagalan pemerintah.
Oleh itu, kami menggesa pemerintah dan agensi-agensinya seperti SKMM untuk segera melakukan tindakan-tindakan berikut:
CIJ sedia bekerjasama dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan SKMM untuk bekerjasama ke arah agenda pembaharuan yang mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.
Sumber: KKMM/Malaysia Kini
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.