About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang dikecam kerana cuba menyalahkan media susulan kenyataannya mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu berkata, mereka “amat kecewa” dengan tindakan Abu Zahar.
Katanya, tindakan menyalahkan media atau kegagalan membenarkan wartawan bertanyakan soalan adalah sama ertinya dengan menafikan hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat.
“Ia menyalahi tujuan mengadakan sidang media apabila hanya satu suara atau mesej yang disiarkan tanpa semak dan imbang yang diperlukan menerusi soalan wartawan.
“Penjawat awam diharapkan dapat menjawab soalan media dengan fasih dan telus walaupun mereka mungkin tidak bersedia dengan jawapan,” katanya.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Farah Marshita Abdul Patah berkata, jika Abu Zahar berpandangan terdapat laporan media tertentu yang tidak benar atau kurang tepat, beliau perlu menjelaskan di manakah berlakunya kesalahan dalam laporan berkenaan.
“Tindakan melarikan diri daripada menjawab soalan media atau menutup peluang kepada sebilangan media untuk menghadiri sidang media menyekat akses kepada maklumat dan bakal memberi impak negatif kepada pelbagai pihak,” katanya kepada FMT.
Dalam sidang media terbarunya pada 11 Jan, Abu Zahar berkata, laporan media yang tidak tepat dan tidak menyeluruh menjadi punca enam ahli LPPR menjauhkan diri daripada kenyataannya sebelum ini yang membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, isu berkenaan tiada kena mengena dengan salah lapor.
“Enam ahli (LPPR) itu dengan jelas mengatakan mereka tidak bersetuju dengannya (Abu Zahar),” katanya.
“Keengganannya menjawab soalan menunjukkan beliau mungkin cuba menyembunyikan sesuatu. Jika tidak, beliau akan bersikap terbuka dengan kenyataannya.
“Ini soal akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik. Beliau tidak menghormati organisasinya sendiri dengan tidak mengikut prinsip yang dipegangnya.”
Komen Santiago menyusul sehari selepas rakan separtinya, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng bertanya kepada Pengerusi LPPR itu mengapa beliau mengambil masa hampir seminggu untuk membangkitkan isu salah lapor sidang media seperti didakwanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kluang daripada DAP, Wong Shu Qi berkata, enam ahli LPPR berkenaan tidak akan berpendapat sedemikian disebabkan laporan berita semata-mata.
“Sebaliknya, Abu Zahar harus menjelaskan sama ada (ahli) yang lain dimaklumkan lebih awal mengenai kenyataannya pada 6 Jan dan berunding dengan mereka sebelum bercakap dengan media,” katanya.
Sumber: MSN/Free Malaysia Today
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.