About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
KUCHING: Seorang aktivis hak digital bimbang pihak berkuasa persekutuan dan negeri akan bertindak sejauh mana untuk memantau pergerakan orang ramai, selepas beberapa teknologi “pengesanan kontak” dimasukkan dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Jac SM Kee berkata, pihak berkuasa sepatutnya melakukan kajian terperinci mengenai impak teknologi sedemikian sebelum melaksanakannya.
Katanya, teknologi pengesanan kontak perlu disertakan kerangka perlindungan data dan privasi, termasuk bagaimana data dikendalikan dan persetujuan daripada pengguna.
“Kita tidak boleh meneruskan cara lama pelaksanaan dasar dengan kesan luas tanpa pertimbangan sewajarnya dan hanya sedar ia tidak berkesan selepas itu, dan sebenarnya ia menimbulkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya kepada FMT.
Ini menyusul pendirian beberapa pakar keselamatan siber yang tidak yakin dengan jaminan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung kebimbangan pelanggaran privasi dalam penggunaan Gerak Malaysia serta MyTrace, aplikasi yang dibangunkan kerajaan untuk memantau dan menguruskan pergerakan rakyat ketika penularan pandemik.
Selain aplikasi telefon bimbit itu, 2 negeri – Selangor dan Sarawak – memperkenalkan kaedah disokong teknologi sendiri untuk pengesanan kontak.
Selangor mencadangkan sistem pendaftaran pengunjung yang dikenali sebagai “SElangkah: Langkah Masuk dengan Selamat”.
Di bawah sistem ini, pengunjung ke bangunan kerajaan, premis komersial dan swasta perlu mengimbas kod QR yang disediakan sebelum mereka dibenarkan memasuki premis itu.
Sistem itu akan dipantau kerajaan negeri dan akan diakses petugas kesihatan jika kes baru Covid-19 dikesan daripada premis berkaitan.
Sementara itu, Sarawak memperkenalkan peranti pengesanan digital sendiri untuk membendung penularan Covid-19.
Mereka yang memasuki negeri itu akan diberikan gelang mempunyai kod QR untuk membolehkan pihak berkuasa mengesan lokasi mereka dan melakukan “pemeriksaan rambang” berdasarkan maklumat yang dihantar daripada peranti itu.
“Ia sangat membimbangkan untuk melihat teknologi pengesanan tidak terkira jumlahnya yang dicadangkan pelbagai negeri dan agensi negeri,” kata Kee.
“Persamaannya ialah kurang perbincangan mengenai teknologi ini dan kesannya ke atas kebebasan asasi seperti hak untuk privasi, kebebasan bergerak, hak untuk maklumat dan kesihatan.”
Kerajaan memberi jaminan data yang dikumpul melalui aplikasi MyTrace adalah sulit dan ia menyasarkan 60% pemilik telefon bimbit memasang aplikasi itu.
Tetapi, Kee mempersoalkan kekurangan butiran tertentu.
“Tidak banyak maklumat yang diberikan mengenai jenis data yang akan dikumpul, di mana data itu akan disimpan, bagaimana melindungi data itu daripada penyalahgunaan, bagaimana rakyat dapat membuat aduan atau rekod diperbaiki jika berlaku penyalahgunaan atau kesilapan, serta bila langkah ini akan berakhir.”
Katanya, pendekatan Sarawak menggunakan gelang turut menimbulkan banyak persoalan.
“Apakah semak dan imbangnya serta perlindungan yang ditawarkan terhadap ‘pemeriksaan mengejut’ rambang oleh pihak berkuasa di Sarawak berdasarkan kod QR?
“Apakah bentuk maklumat lain yang boleh dikumpul dan siapa yang dapat mengaksesnya?” soalnya.
Beliau berkata, SElangkah akan membolehkan pihak berkuasa Selangor mengesan pergerakan dan lokasi semua individu yang terbabit dalam “ekonomi pemandirian harian”, termasuk membeli barang dapur.
“Tidak jelas berapa lama langkah ini akan terus dilaksanakan, dan jika pengguna boleh memilih tidak menyertainya jika tidak bersetuju dengannya.
“Langkah meluas ke atas semua hak kita untuk privasi, hak untuk hidup dan kebebasan bergerak tidak boleh serta tidak patut dilaksanakan tanpa perbincangan dan perimbangan.”
Semalam, seorang pakar teknologi maklumat dilaporkan berkata, bentuk akses data yang diperlukan aplikasi Gerak Malaysia “terlalu luas” kerana pengguna diminta memberi kebenaran untuk mengakses kamera telefon, lokasi GPS dan storan telefon.
Khairil Yusof memberitahu FMT, kebimbangan terhadap pencerobohan privasi dalam penggunaan aplikasi yang dibangunkan kerajaan kerana Akta Perlindungan Data Peribadi tidak tertakluk kepada kerajaan.
Kee sependapat tetapi turut mempersoalkan sama ada pengumpulan maklumat sedemikian berkesan untuk membendung Covid-19.
“Memandangkan maklumat mengenai kesihatan dan lokasi ialah 2 bentuk maklumat sangat sensitif yang boleh memberi kesan besar terhadap martabat seseorang dan pelbagai hak asasi manusia, kelajuan langkah ini dicadangkan sangat membimbangkan.
“Sebarang langkah perlu seimbang, perlu, terhad, mendapat persetujuan dan mempromosikan hak.”
Sumber: Free Malaysia Today
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.