About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Annuar Musa berjanji untuk memastikan bahawa kerajaan akan mengamalkan konsep kebebasan media yang bertanggungjawab.
Untuk lebih memahami peranan barunya, Annuar mengatakan bahwa selama dua minggu pertama di pejabat barunya dia mengadakan perjumpaan pihak berkepentingan dengan pengurusan dan kakitangan 11 agensi dan jabatan di bawah kementerian itu.
“Saya juga mahu memastikan kerajaan hari ini akan mengamalkan konsep kebebasan media yang bertanggungjawab. Oleh itu, adalah penting untuk KKMM reinvent, rejuvenate dan menjadi lebih kreatif supaya KKMM akan terus menjadi saluran yang berkredibiliti dan berfungsi dengan efisien.
“Saya berharap semua kakitangan KKMM bersedia untuk bekerja dan menjadi suara kerajaan yang responsif, seiring dengan aspirasi rakyat untuk bersama membina Keluarga Malaysia,” kata Annuar.
Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu mengambil alih kementerian berkenaan dari Saifuddin Abdullah yang kembali ke Kementerian Luar Negeri di bawah pentadbiran baru Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam peranan barunya, Annuar bertugas mengawasi penyebaran maklumat melalui penyiar rasmi RTM, agensi berita Bernama dan Jabatan Penerangan.
Kementerian di bawah Annuar juga bertanggungjawab berhubung keselamatan digital dan pembangunan filem dan ekonomi digital.
“Saya akan mengubah KKMM menjadi sebuah kementerian yang bukan sahaja membawa informasi kepada rakyat tetapi juga sebagai satu kementerian yang responsif dan proaktif kepada keperluan rakyat.
“KKMM bukan sahaja akan menjadi suara kerajaan tetapi merasakan nadi setiap rakyat, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang akan menghubungkan Putrajaya kepada rakyat di setiap pelosok negara, meskipun di kampung yang paling terpencil,” katanya.
Pelaksanaan pembelajaran jarak jauh sejak pandemik Covid-19 tahun lalu telah menyorot jurang digital antara bandar dan luar bandar, terutama dari segi akses internet.
Pengkritik juga menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan tindakan terhadap kebebasan bersuara termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, undang-undang penapisan, Akta Hasutan 1948 dan lain-lain.
Ketika dihubungi, pengarah eksekutif Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) Wathshlah G Naidu mengatakan kumpulan itu berharap dapat terlibat dengan Annuar mengenai kemungkinan pembaharuan media dan penubuhan majlis media.
“CIJ dan rakan-rakan akan mengeluarkan surat yang meminta pertemuan dan berharap dapat disusun tanpa penundaan untuk meneruskan perbincangan dalam cara yang membina.
“Kami berharap menteri akan fokus untuk mengkaji undang-undang yang menyekat kebebasan media, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya kepada Malaysiakini.
Source: Malaysia Kini
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.