About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ atau Centre for Independent Journalism) merujuk kepada artikel yang diterbitkan di laman web Berita Harian pada 13 Jun 2020 bertajuk, “Pasar Borong KL kini, selamat kepada pelanggan, bersih bagi warga asing“. Pihak kami amat bimbang kerana artikel berkenaan berpotensi untuk menyebar retorik xenofobik dan perkauman terhadap pekerja migran, ketika ucapan kebencian terhadap minoriti semakin meningkat berikutan serangan semasa terhadap Rohingya dan pendatang serta pelarian lain di Malaysia.
Laporan berkenaan bermula dengan memuji usaha Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk “membersihkan” Pasar Borong Kuala Lumpur di Batu Caves. Pilihan bahasa yang digunakan amat membimbangkan. Sebagai contoh, wartawan yang menulis berita ini mendakwa bahawa kawasan kaki lima dan tempat letak kereta yang “sebelum ini dipenuhi dengan penjaja warga asing serta sampah sarap” kini bersih, dan pengunjung kini lebih mudah untuk meletak kenderaan di dalam tempat parkir. Laporan kemudian memetik pengunjung dan pekerja di pasar yang mengesahkan pemerhatian wartawan, yang secara langsung memperburukkan lagi dan mengabadikan bias dan prasangka terhadap pekerja migran. Perkataan “bersih” juga digunakan sekurang-kurangnya 10 kali dengan rujukan kepada pekerja asing.
Pada 8 Mei 2020, setiausaha-agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengatakan bahawa “wabak (COVID-19) masih sedang melancarkan tsunami kebencian dan xenofobia, mempersalahkan orang (scapegoating) kambing hitam dan menakutkan orang (fear-mongering)”. Di Malaysia, kami sedang melihat pembela hak asasi manusia dan aktivis masyarakat diserang dalam talian kerana memperjuangkan hak mereka tanpa suara, seperti Tengku Emma Zuriana, Heidy Quah dan Zafar Ahmad Abdul Ghani. Ketika tren stereotaip, prasangka, bias dan ucapan benci berkembang biak di Malaysia, laporan media yang seimbang dan bertanggungjawab sangat penting dalam memastikan media menjadi analitis, menjana dan menyebarkan wacana dan perbahasan yang sihat serta menghulurkan suara dan platformnya yang kuat untuk memerangi diskriminasi dan ketidaksamaan.
Media dan wartawan mempunyai peranan asas dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan memaklumkan kepada rakyat dasar dan pendapat masyarakat mengenai pekerja migran dan pelarian. Oleh kerana itu, pihak media harus menahan diri dan mencegah berlakunya penyebaran informasi yang dapat menyebabkan diskriminasi dan ketidakadilan secara langsung terhadap masyarakat-masyarakat yang terpinggirkan dan rentan. Oleh itu, ia mengejutkan apabila melihat artikel seperti ini diterbitkan pada masa seperti sekarang dan yang mungkin akan menambah ketegangan dan kebencian yang berlaku terhadap masyarakat migran dan pelarian.
Kami menyeru agar Berita Harian, sebagai saluran media utama dengan reputasi dan jangkauan luas, untuk bertindak dengan kepemimpinan dan etika yang kuat, dengan:
Menarik balik artikel tersebut atau sebagai alternatif, menawarkan naratif balas (seperti surat ini) dan muat naiknya di laman web Berita Harian;
Memanfaatkan platform cetak dan dalam talian untuk bersuara dalam menyokong penghapusan semua bentuk diskriminasi perkauman dan xenofobia, pengasingan dan peminggiran pekerja migran dan pelarian, dan;
Mempromosikan dan menyokong pasukan wartawan Berita Harian untuk mencabar naratif palsu atau diskriminasi dan bersikap tegas dalam mengutuk ucapan berat sebelah, prejudis dan benci terhadap golongan minoriti dan golongan yang mudah terdedah.
Kami menggesa pihak Berita Harian menggunakan platform anda untuk bersuara menyokong hak mereka untuk dilayan sebagai manusia. Daripada menerbitkan cerita seperti itu, kami meminta pihak Berita Harian melabur dalam latihan dan sumber lanjutan untuk mempromosikan dialog dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian, dan bukannya menambah masalah.
Terdapat harapan yang tinggi bahawa Berita Harian adalah sumber informasi yang boleh dipercayai, menghindari naratif kepartian, melapor berdasarkan fakta serta bertanggungjawab, seimbang dan beretika dalam pelaporan. Kami berharap untuk terus terlibat secara membina dengan Berita Harian dalam menangani masalah ini.
16 June 2020
Wathshlah G. Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk pertanyaan media, hubungi Vinodh Pillai di media_comms@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.