About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
CIJ mengambil perhatian akan situasi apabila seorang wartawan dikenakan denda sebanyak RM1,000, manakala seorang lagi diberikan amaran oleh pihak berkuasa kerana melanggar SOP COVID-19 sewaktu membuat liputan di acara pencalonan di Larkin.
Media memainkan peranan yang penting bagi memaklumkan masyarakat akan perkembangan sewaktu tempoh pilihanraya berlangsung, termasuklah maklumat-maklumat berkenaan dengan parti politik, calon pilihanraya serta janji politik mereka dalam menggalakkan perbahasan di ruang awam yang kritikal berkenaan dengan hal-hal kepentingan mereka. Oleh sebab demikian, adalah penting untuk para media mendapat akses yang sama bagi setiap parti dan aktor yang terlibat dalam pilihanraya agar maklumat yang seimbang dan tepat diperoleh berkenaan dengan pilihanraya kali ini.
Sungguhpun memang penting buat kerajaan untuk menjalankan peranan mereka bagi menjaga SOP dan mengenakan tindakan buat mereka yang melanggarnya, namun hukuman denda bukanlah satu-satunya cara untuk menangani isu ini. Kerajaan dan pihak berkuasa harus turut mengambil kira tanggungjawab mereka untuk membantu dan memastikan ruang yang selamat dan sesuai untuk media membuat laporan bagi menggalakkan liputan yang bertanggungjawab dan telus. Langkah-langkah keselamatan seharusnya dilaksanakan bagi menjaga penjarakan sosial dan dalam masa yang sama ruang buat media disediakan bagi membolehkan akses yang penuh dan sama rata terhadap calon dan sumber-sumber lain sewaktu hari pencalonan. Seharusnya tidak ada halangan dikenakan yang boleh mencegah media untuk menjalankan tanggungjawab mereka bagi menyebarkan maklumat yang kritikal dan sesuai pada waktunya.
Harus diakui bahawasanya pihak media berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menjalankan tugas mereka semasa COVID-19 kerana terpaksa menjaga penjarakan sosial dan mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19. Dalam konteks ini, adalah penting buat media untuk menjaga penjarakan sosial dan tidak mengerumuni para calon atau sumber-sumber maklumat yang lain. Media juga dicadangkan untuk mendapatkan peralatan yang lebih baik dan menggunakan lensa panjang pada setiap waktu bagi mengelakkan sesakan dan mengurangkan risiko keselamatan mereka. Perancangan yang lebih teratur juga diperlukan dalam kalangan organisasi media agar wartawan di tempat liputan dapat dilindungi dengan lebih baik.
Tatkala waktu tempoh berkempen terus berjalan kini sehinggalah menuju ke hari membuang undi, perancangan dan kerjasama yang lebih baik antara media, pihak berkuasa, ahli politik dan pihak-pihak berkepentingan yang lain menjadi lebih mustahak. Hal ini perlu bagi mmeastikan langkah-langkah keselamatan yang diperlukan dapat dilaksanakan bagi membolehkan akses yang sama rata bagi semua media serta melindungi dan menjaga keselamatan mereka sementara pihak media terus mendukung standard liputan yang tertinggi serta bebas dan bertanggungjawab.
26 February 2022
Wathshlah Naidu
CIJ Executive Director
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi cijmalaysia@gmail.com.
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.