About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
CIJ sangat bimbang melihat penahanan dan soal siasat yang dikenakan terhadap rakyat biasa atas sebab kritikan mereka terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, melalui profil media sosial mereka.
Pegawai kerajaan seharusnya boleh menerima kritikan secara berterusan – terutamanya apabila terdapat jangkaan yang tinggi terhadap soal kebertanggungjawaban dan urus tadbir yang cekap. Kritikan-kritikan tersebut tidak layak menjadi justifikasi bagi penahanan dan soal siasat. Kegiatan membangkang dan mengkritik adalah suatu bentuk penyuaraan yang sah dan dilindungi oleh perlembagaan.
Pastinya, ucapan benci dan ugutan berbaur keganasan dan ancaman adalah bentuk penyuaraan yang tidak diterima dan wajar disekat. Namun, bagi menjunjung dasar kebertanggungjawaban dan ketelusan, pihak berkuasa hendaklah mendedahkan terlebih dahulu apakah komen yang disifatkan sebagai menghina itu.
Mereka sepatutnya menjelaskan dengan tuntas apakah elemen jenayah yang terdapat pada penahanan dan penyiasatan ke atas empat orang individu tersebut. Tambahan lagi, adakah Pengujian Bahaya (Harm Test) telah dibuat sebelum tindakan dikenakan terhadap empat individu berkenaan? Pengujian Bahaya seharusnya dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan legitimasi, keperluan dan kewajaran tertentu sebelum dikenakan serangan dan sekatan hak bersuara.
Penahanan dan penyiasatan ke atas empat individu tersebut jelas menunjukkan pendekatan berat sebelah. Seperti contoh, ada insiden di mana pegawai awam tidak dikenakan tindakan apabila membuat ucapan yang tidak sensitif dan biadap, manakala mereka yang mengkritik beliau pula ditahan. Budaya ini harus dihentikan serta merta. Pegawai kerajaan harus diminta lebih bertanggungjawab atas tindak tanduk mereka, dan mana-mana pihak yang mendatang kritikan terhadap mereka tidak wajar dihukum.
Pihak berkuasa harus berhenti menggunakan undang-undang yang kabur seperti Seksyen 504 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebagai alat untuk menutup suara-suara yang kritikal dan melawan. Kami juga menggesa setiap siasatan terhadap empat individu dan mana-mana individu yang bersikap kritikal dan membangkang terhadap MB Kedah dihentikan serta merta.
Kami bersolidariti dengan kesemua pihak yang kebebasan bersuara dan berucap mereka disekat melalui pendekatan seperti ini.
11 Ogos 2021
Wathshlah G Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Bagi pertanyaan media, sila hubungi Shahirah Hamid di comms@cijmalaysia.net.
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.