About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ) mengingatkan agar saluran baru yang dilancarkan oleh stesen penyiaran RTM bagi menangani “berita palsu” tidak digunakan untuk “menyebarkan propaganda negara”.
Pengarah eksekutif CIJ Wathshlah Naidu mengatakan, pihaknya khuatir inisiatif itu dapat mengakibatkan “percubaan taktikal” untuk mengekang perbezaan pendapat.
“Inisiatif seperti itu, kami harap, digunakan untuk memastikan penyebaran dan akses maklumat tepat kepada masyarakat dan tersedia dalam pelbagai bahasa, selain mempromosikan inisiatif mencari fakta dan etika pelaporan.
“Namun, kita telah melihat praktik global dalam rejim kerajaan yang dilihat menggunakan media negara untuk menapis kandungan yang dianggap tidak baik atau kritikal terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata Saluran Berita RTM pelbagai bahasa yang baru akan membolehkan orang ramai “membezakan antara berita benar dan palsu.”
Saifuddin berkata demikian semasa melancarkan Saluran Berita RTM 24 jam semalam, yang bertujuan untuk menangani penyebaran maklumat yang salah di ruang awam.
Namun, CIJ memetik kenyataan di Twitter 10 April lalu oleh Jabatan Penerangan di bawah kementerian Saifuddin yang memaparkan makluman dari Cyber Security Malaysia, yang menyenaraikan enam kategori maklumat yang diklasifikasikan sebagai berita palsu dan kesannya.
Di antaranya, ia menyenaraikan maklumat yang “menanamkan kebencian terhadap kerajaan pemerintah dan pemimpin” sebagai berita palsu yang dapat “mewujudkan ketidakpercayaan terhadap kerajaan pemerintah”.
Selain itu, maklumat yang “menjatuhkan maruah dan imej, reputasi organisasi dan negara” turut disenaraikan sebagai berita palsu yang dapat “menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat”.
Justeru, CIJ menggesa kerajaan PN untuk memastikan saluran itu agar tidak menjadi proksi untuk tujuan propaganda yang bertujuan untuk mempromosikan kerajaan dan memburukkan pihak yang bertentangan.
CIJ juga menggesa agar ia tidak menjadi satu-satunya medium yang memutuskan maklumat apa yang boleh dan tidak boleh diberikan kepada umum atau mendefiniskan “berita palsu”.
Selain itu, saluran itu juga perlu memfokuskan pada pendidikan dan penyebaran maklumat awam untuk membendung “berita palsu” melalui saluran idea dan maklumat yang cekap, seimbang dan dari pelbagai sumber selain daripada kerajaan, seperti pakar dan organisasi masyarakat sivil, untuk memudahkan perbahasan awam dan membolehkan pembentukan pendapat yang tepat.
CIJ juga mahu agar kerajaan menjamin bahawa kandungan saluran baru itu memenuhi norma dan standard kod kandungan global.
Dalam kenyataan sama, CIJ turut mengingatkan kerajaan berhubung rancangan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai badan industri yang telus dan bebas.
Jawatankuasa pro-tem majlis media itu dibentuk di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Jawatankuasa itu, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran, telah membuat draf rang undang-undang berkaitan.
Bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan, masa depan penubuhan majlis itu tidak dapat dipastikan.
Sumber: Malaysiakini
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.