About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2021, Centre for Independent Journalism (CIJ), telah melancarkan Laporan Status Kebebasan Bersuara (FOE) 2021 hari ini (11 Disember 2021). Laporan ini menyediakan gambaran menyeluruh berkenaan dengan keadaan kebebasan bersuara (FOE) di Malaysia pada tahun ini. Laporan ini juga mencatatkan bagaimana faktor luaran seperti COVID-19 dan deklarasi darurat bagi seluruh negara memainkan peranan yang sangat penting dalam menekan kebebasan bersuara masyarakat. Ianya turut menyertakan pemerhatian, analisis, serta cadangan dasar mengikut tema-tema tertentu bagi menambah baik perlindungan dan dukungan terhadap hak asasi masyarakat.
Kami juga turut menjalankan pemerhatian, melalui pengawasan media kami, terhadap paparan berkaitan dengan vaksinasi atau sentimen yang bernada sinis, lantang, kritikal, membangkang, mahupun satira – kesemuanya merupakan luahan kebebasan bersuara yang sah – termasuk kesalahan yang lebih serius seperti dakwaan palsu, ancaman terhadap nyawa, keselamatan atau kesihatan orang lain atau luahan berbaur ucapan benci. Kami berpandangan bahawa kebanyakan kes dalam kategori yang pertama tidak perlu dikenakan siasatan dan tindakan yang dikenakan pihak berkuasa adalah tidak munasabah, melampau, dan tidak selaras dengan hasrat untuk melindungi keadaan awam atau keamanan.
Analisis kami ini adalah berdasarkan pemahaman terhadap skop pelbagai undang-undang yang digunakan, yang kebanyakannya bersifat menekan dan menindas. Perkara ini membawa kepada potensi untuk disalah guna oleh pihak kerajaan apabila segala bentuk kritikan dengan mudah disifatkan sebagai “hasutan” atau “berita palsu”, sehinggakan ruang demokrasi semakin hari semakin menjadi sempit.
Sepanjang tahun 2021, tinjauan CIJ mendapati berlaku peningkatan yang mendadak terhadap penggunaan undang-undang yang menekan seperti Akta Hasutan (19 kes) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (140 kes) bagi menutup suara-suara dan pandangan yang bertentangan. Kami juga melihat peningkatan dalam penggunaan Seksyen 504 (32 kes) dan Seksyen 505 (35 Kes) Kanun Keseksaan.
Secara purata, lebih ramai lelaki daripada wanita yang dikenakan tindakan. Kami juga meneliti dari segi umur bagi setiap kes yang terlibat – dari golongan belia berumur 25 tahun ke bawah, dewasa sehingga umur 50 tahun, dan warga tua yang berumur mencapai 69 tahun – dan dengan ini menunjukkan capaian penuh bagi pelaksanaan kuasa kerajaan. Selain itu, kami turut mencatat jumlah tahanan, siasatan, dan soal siasat yang bukan sahaja tertumpu kepada kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, malah turut berlaku di pelbagai tempat dalam negara termasuk kawasan luar bandar.
Berikut adalah kategori-kategori individu yang disasar:
Kami mengingati peristiwa melibatkan beberapa aktivis yang dikenakan siasatan atas alasan pertemuan solidariti aman dan dakwaan melanggar Arahan Berkurun (MCO) tahun ini. Antara yang terlibat adalah penganjur dan peserta perhimpunan “Buka Puasa Buka Parlimen”; beberapa inisiatif #LAWAN; aktivis yang ditahan untuk disoal siasat atas sebab perhimpunan Hari Buruh, dan lain-lain.
Pada tanggal 2 Julai 2021, pengasas bersama Freedom Film Network (FFN) Anna Har dan pelukis/juruanimasi Amin landak telah dipanggil ke ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan filem Chilli Powder and Thinner. Mereka sudi memberi kerjasama untuk memberikan kenyataan kepada pihak polis namun pihak polis tetap menyerbu ofis FFN dan rumah Amin. Sementara itu, pelukis grafik Fahmi Reza dan kartunis, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, terus dijadikan sasaran intimidasi disebabkan hasil karya mereka.
Suasana media terus disekat dan pada bulan Februari kita menyaksikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang kontroversi melibatkan Malaysiakini yang didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM500,000[1]. Keputusan ini mendatangkan beberapa implikasi buat media, terutamanya portal dalam talian. Seterusnya kedudukan Malaysia juga merudum dalam laporan tahunan indeks kebebasan media Reporters Without Borders (RSF) pada bulan April. Kedudukan indeks kebebasan media Malaysia jatuh sebanyak 18 tangga pada kedudukan 119 (daripada 180 negara yang dicartakan).
Sepertimana juga pada tahun sebelumnya, media turut disekat untuk masuk ke Parlimen dan taklimat peringkat tertinggi oleh menteri-menteri juga terhad pada media milikan kerajaan yang “rasmi” sahaja.
Kami berharap pelancaran laporan ini mampu meningkatkan kesedaran umum terhadap keadaan FOE di Malaysia serta cabaran yang harus kita hadapi bagi mencetus perubahan, terutamanya dari pihak pemerintah. Kami juga berharap dan menggesa pihak kerajaan hari ini untuk menimbangkan secara serius cadangan-cadangan yang kami sediakan serta bergerak ke arah melaksanakan pelbagai pembaharuan yang diusulkan. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan atas tujuan melaksanakan pembaharuan ini, bersama dengan rakan-rakan masyarakat sivil yang lain secara kolektif, agar perubahan yang baik untuk melindungi hak asasi kita semua di peringkat undang-undang mahupun dalam keadaan harian dapat kita wujudkan buat Malaysia, khususnya Keluarga Malaysia.
Kami akhiri kenyataan ini dengan nada yang positif. Semalam, dalam ucapan yang dirakam berkenaan dengan Hak untuk Bermaklumat (RTI). Menteri bagi Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan semula komitmen kerajaan terhadap penggubalan undang-undang RTI yang baru bagi menuju ke arah suasana yang lebih telus dan data terbuka. Forum RTI anjuran bersama CIJ, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut berlangsung bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia.
11 Disember 2021
Wathshlah Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Shahirah Hamid di comms@cijmalaysia.net. atau 0124877664
APPENDIX 1
Jumlah kejadian bermula Mac sehingga Disember 2020[2] | Jumlah kejadian bermula Januari sehingga November 2021 | Senarai undang-undang yang menindas | Individu yang dikenakan tindakan 2021 |
71 | 140 | Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (mensabitkan kesalahan menggunakan kemudahan dan bekalan dalam talian, etc) | 236 |
25 | 19 | Akta Hasutan 1948 (mensabitkan kesalahan bagi segala perbincangan yang dianggap sebagai menghasut) | 40 |
4 | 32 | Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mensabitkan kesalahan bagi hinaan dengan niat untuk mencetuskan kekacauan) | 45 |
19 | 35 | Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mensabitkan kesalahan bagi kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam) | 72 |
0 | 1 | Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 (mensabitkan kesalahan bagi penyebaran maklumat yang disifatkan sebagai rahsia rasmi ) | 1 |
3 | 0 | Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 (mentadbir urus penggunaan penerbitan bahan cetakan) | 0 |
7 | 9 | Akta Perhimpunan Awam (PAA) 2012 (mengawal bantahan awam) | 292 |
N/A[3] | 30[4] | Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu ) (No. 2) 2021 [EO2] (mensabitkan kesalahan bagi “berita palsu ” berkaitan COVID-19 atau Pengisytiharan Darurat 2021) | 12[5] |
Huraian: Data dan statistik yang dibentangkan dalam laporan ini dikira melalui pemantauan CIJ terhadap laporan media dalam talian dan ada kemungkinan tidak meliputi kesemua kes di bawah undang-undang yang disebutkan. Oleh itu, data kami mungkin berbeza dengan statistik rasmi kerajaan atau data daripada organisasi hak asasi manusia yang lain. Tambahan lagi, skop tinjauan kami tidak meliputi semua undang-undang yang disifatkan menekan yang digunakan di Malaysia bagi menyekat FOE, seperti undang-undang keselamatan dan jantina atau undang-undang berkaitan dengan jenayah seksual. Justeru, senarai yang panjang ini tentunya tidak lengkap kerana terdapat lebih banyak individu yang disiasat dan didakwa di bawah pelbagai undang-undang yang menekan. Sekiranya senarai kes-kes dibaca secara menyeluruh, hal ini menunjukkan bahawasanya wujud skema tindakan yang besar, sengaja dan terancangan bagi menyekat kebebasan asasi rakyat.
[1] Kes ini melibatkan komen dari pihak ketiga yang dibuat oleh pembaca Malaysiakini pada sebuah berita yang diterbitkan di portal berita yang dianggap sebagai menghina oleh mahkamah. Malaysiakini didapati bersalah di bawah Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) (No. 2) 2012, yang meletakkan Malaysiakini sebagai penerbit bagi komen yang dijadikan kesalahan itu.
[2] Data ini dikutip dari bulan March 2020 ke atas iaitu sejak perubahan kerajaan yang pertama selepas pilihanraya 2018. Sebelumnya kesalahan FOE tidaklah berleluasa seperti sekarang.
[3] EO2 hanya diperkenalkan pada 2021.
[4] Ini adalah jumlah rasmi dari pihak kerajaan, dan CIJ tidak dapat mengutip jumlah ini melalui kerja-kerja pemantauan media.
[5] Jumlah ini tidak termasuk individu yang diambil tindakan dalam 18 kes EO2 negara yang lain, yang tidak menjadi pengetahuan umum.
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.