About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
-
https://twitter.com/CIJ_Malaysia
CIJ memandang serius tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menghalang wartawan untuk membuat liputan tentang sesi rapat umum bagi membincangkan draf plan tempatan Majlis 2021-2035 semalam (8 April).
Beberapa laporan menyatakan bahawa Majis Bandaraya telah melarang kakitangan media daripada melakukan liputan berkenaan rapat umum itu dengan alasan jemputan sesi tersebut tidak dilanjutkan kepada media dan hanya terhad kepada penduduk serta pihak-pihak awam yang membuat bantahan rasmi terhadap draf plan yang ingin dibincangkan. Alasan ini tidak munasabah kerana perkara ini melibatkan kepentingan awam, justeru masyarakat umum harus dimaklumkan sebaiknya.
Sesi rapat umum itu dijadualkan bermula pada jam 9.15 pagi di dewan makan Wisma MBSA, Shah Alam. Antara perkara hangat yang hendak dibincangkan adalah cadangan pihak majlis untuk menukar Rimba Komuniti Shah Alam menjadi pembangunan komersial dan kawasan perkuburan.
Menurut beberapa laporan, sewaktu penduduk cuba membantu pihak media dengan mencadangkan agar mereka sertai sesi tersebut sebagai “perwakilan”, pegawai MBSA mengeluarkan syarat bahawasanya sesi ini mestilah tidak dilaporkan dan para wartawan hendaklah menyerahkan alatan-alatan rakaman mereka.
Perbuatan menghalang pihak media melakukan liputan bermaksud pihak Majlis Bandaraya bersikap tidak telus dalam mendedahkan maklumat yang melibatkan kepentingan awam. Hal ini secara jelas bertentangan dengan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang bermaksud untuk “mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu hak akses yang munasabah kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan Kerajaan Negeri dan untuk mempromosi ketelusan dan amanah bagi setiap jabatan Kerajaan Negeri”
Makanya, adalah penting untuk pihak MBSA menyatakan justifikasi yang jelas berkenaan dengan sekatan yang mereka kenakan terhadap pendedahan maklumat sewaktu sesi rapat umum tersebut.
Akses untuk mendengar dan membuat liputan berkenaan dengan isu yang menjadi kepentingan awam adalah penting buat peranan media untuk berfungsi tanpa sekatan yang tidak munasabah dan seimbang kerana ianya mencabar kebebasan media serta memberi kesan kepada hak awam untuk mendapatkan maklumat. Hal ini juga memberi kesan kepada kemampuan orang awam untuk terlibat secara membina dalam perdebatan dan perbincangan berkenaan proses membuat keputusan berkenaan Rimba Komuniti Shah Alam. Bagaimana lagi, selain proses seperti ini, untuk kita pastikan MBSA dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bertanggungjawab ke atas keputusan dan tindakan mereka yang akhirnya turut memberi kesan kepada masyarakat umum?
Majlis Bandaraya harus bertindak dengan lebih baik dalam mendukung kebebasan media untuk membuat liputan terhadap mana-mana rapat umum sebagai cara bagi memastikan ketelusan dan demokrasi berpartisipasi serta tadbir urus yang baik.
8 April 2021
Puan Wathshlah G. Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk pertanyaan media, hubungi comms@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
https://twitter.com/CIJ_Malaysia