About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Centre for Independent Journalism (CIJ) mengecam dengan keras akan gangguan dan intimidasi yang berterusan oleh pihak berkuasa ke atas wartawan, sepertimana dalam kes terkini yang melibatkan ketua editor laman berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn, yang mengarang artikel tentang kes-kes Covid-19 yang tersembunyi di pusat vaksinasi Setia City Convention Centre (SCCC). Artikel yang diterbitkan pada 18 Julai tersebut telah memetik pandangan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tanpa mendedahkan namanya, dan sukarelawan itu mendedahkan bahawa pengurusan pusat pemberian vaksin dengan sengaja tidak memaklumkan kakitangan mereka berkenaan kes dan kontak rapat, serta tidak mengenakan saringan komuniti atau mengeluarkan panduan SOP yang tepat.
Kami berpandangan siasatan ke atas CodeBlue dan ketua editornya adalah satu bentuk intimidasi yang sejajar dengan sikap dan perilaku yang bertujuan untuk menutup suara media dan menekan sebarang pertanyaan kritikal yang berkepentingan awam.
Tambahan lagi, Hak untuk Mendapatkan Maklumat (RTI) turut mendukung satu premis penting iaitu semua maklumat yang dipegang oleh Kerajaan dan institusi-institusi kerajaan yang berkaitan adalah secara prinsipnya milikan awam dan ianya hanya boleh dikekang atau dikenakan akses yang terhad sekiranya ada sebab-sebab yang sah untuk tidak mendedahkannya, seperti soal keselamatan atau rahsia negara. Kami menggesa pihak kerajaan untuk lebih bertanggungjawab, terbuka dan telus dalam mendedahkan maklumat yang berkaitan dengan kepentingan awam. Hal ini sangat penting terutamanya pada keadaan wabak dan untuk meneliti pengurusan kerajaan dalam menangani penyebaran COVID-19 dan usaha-usaha pemberian vaksin. Hak kami untuk mendapatkan maklumat awam yang penting haruslah diberikan sepenuhnya. Ianya tidak wajar untuk disekat sewenang-wenangnya.
Kami menolak dengan keras sebarang penyiasatan yang dijalankan pihak berkuasa dan menggesa pihak kerajaan untuk menghentikan siasatan terhadap CodeBlue dan Su-Lyn secara serta merta. Siasatan sepatutnya dibuat terhadap tuduhan yang dibangkitkan dan bukannya terhadap wartawan atau sumber maklumat.
Kami mengakui bahawa telah menjadi tanggungjawab dan usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan awam dalam menangani isu-isu kesihatan awam seperti krisis COVID-19. Pihak kerajaan seharusnya mendidik, memaklumkan dan memberikan amaran kepada masyarakat, dan kami akui bahawa Kementerian Kesihatan telah pun menjalankan beberapa usaha yang baik dalam membekalkan maklumat yang penting terutamanya melalui media sosial kepada masyarakat awam. Dalam keadaan hari ini, pihak kerajaan dan pemimpin politik tertentu pastinya akan diperhatikan oleh semua pihak dan harus bersedia untuk menerima kritikan, perbezaan pandangan dan idea serta menggalakkan ketelusan maklumat yang lebih meluas.
Dalam masa yang sama, pihak media juga memainkan peranan penting dalam mengelakkan dan menghalang penyebaran maklumat palsu atau maklumat yang mengelirukan dengan cara menyalurkan berita yang berasaskan fakta secara tepat dan analitikal, termasuklah perkembangan yang dikeluarkan pihak berkuasa sewaktu tempoh krisis kesihatan yang berlaku sekarang. Perkara ini penting bagi melawan mitos mahupun fakta-fakta yang mengelirukan tentang penyebaran virus ataupun soal tindakan yang diambil kerajaan.
Justeru, pihak kerajaan harus lebih proaktif dalam memberikan respons terhadap tuduhan dan dakwaan yang dibangkitkan oleh media – bukannya menyekat dan menghukum media yang menjalankan tugas melaporkan secara kritikal.
28 Julai 2021
Wathshlah G. Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk pertanyan media, sila hubungi Shahirah Hamid di comms@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.