About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Centre for Independent Journalism (CIJ) mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis yang menjalankan siasatan terhadap doktor dan pekerja kesihatan yang menyokong kempen #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY sewaktu komuniti perubatan kini terpaksa berdepan dengan keadaan yang cukup huru-hara.
Kami menanggapi isu ini dengan serius apabila penyiasatan yang dikenakan dilihat sebagai suatu bentuk intimidasi terhadap para doktor yang menyuarakan kekecewaan mereka terhadap sistem yang gagal melindungi mereka. Dijangkakan seramai 15,000 pekerja kesihatan telah menunjukkan sokongan terhadap kempen tersebut di ruangan media sosial. #BlackMondayMY berlangsung pada hari Isnin (12 Julai) di mana para doktor mengenakan pakaian berwarna hitam, selepas 12 hari kempen #CodeBlackMY berjalan di media sosial.
CIJ bersetuju dengan pandangan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy, yang turut mengkritik tindakan pihak berkuasa yang menganggu doktor dan pekerja kesihatan yang menyokong kempen melawan ketidakadilan pekerjaan buat doktor konktrak. Tambahan lagi, taktik intimidasi ini telah mencetuskan trauma buat sebahagian doktor yang turut melaporkan hal ini kepada MMA. Harus ditekankan bahawa mempertahankan hak sendiri dan menunjukkan solidariti bersama kempen tersebut adalah suatu tindakan yang penting.
Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak asasi buat semua rakyat untuk menubuhkan persatuan, serta menjalan perhimpunan secara aman dan menggalakkan kebebasan bersuara. Dalam konteks ini, doktor-doktor tersebut hanyalah menggunakan hak asasi mereka untuk membangkang dan menyatakan bantahan. Kebebasan bersuara, seperti mana yang termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuklah juga Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perlembagaan Persekutuan sedia ada, telah mendukung hak asasi untuk mencari dan bertukar-tukar idea, pandangan dan maklumat yang membolehkan masyarakat awam membentuk pandangan serta pegangan yang berbeza dan bertentangan, terutamanya berkenaan dengan isu-isu kepentingan awam, sekaligus mempromosikan tadbir-urus yang baik dan memastikan pemerintah menjalankan tanggungjawab mereka. Sebarang sekatan terhadap hak-hak ini hendaklah sah, berkeperluan, atau wajar serta sejajar dengan kepentingan untuk memelihara ketenteraman awam, prinsip-prinsip moral, dan keselamatan negara.
Di sini kami nyatakan solidariti bersama barisan doktor dan penganjur kempen #CodeBlackMY #BlackMondayMY #saveMYcontractHCW #HartalDoktorKontrak. Kami menggesa pihak berkuasa untuk segera memberhentikan sebarang bentuk gangguan dan intimidasi terhadap doktor yang menyokong kempen ini kerana mereka berhak untuk didengari dan menyuarakan kegusaran mereka di ruang awam. Kerajaan Malaysia hendaklah melindungi dan menghormati hak para doktor dan golongan profesional perubatan dalam menyuarakan isu mereka, terutamanya ketika sistem kesihatan kita hari ini semakin tenat akibat wabak Covid-19.
14 Julai 2021
Wathshlah G. Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk pertanyan media, sila hubungi comms@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.