About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Gambar utama dari Free Malaysia Today
Centre for Independent Journalism (CIJ) dengan keras mengecam keputusan Lembaga Penapis Filem (LPF) mengentikan iklan pakaian dalam, walaupun ianya tidak memaparkan mana-mana model, sebagai satu tindakan penapisan sembarangan dan pengawasan moral.
Hari ini, satu laporan yang memetik dua surat kepada kedua-dua penyiar yang terlibat dalam isu ini telah diterbitkan. Surat pertama, bertarikh 3 September, melaporkan bahawa iklan pakaian dalam tersebut adalah jelik dan tidak sopan – walaupun tiada model digunakan bagi memakai pakaian tersebut dan tiada gambaran tidak sopan dipaparkan. Surat tersebut turut menggesa penyiaran tersebut dihentikan serta merta.
Surat yang kedua, bertarikh 24 Ogos, melaporkan berdasarkan amaran LPF dari petikan daripada Garis Panduan Penapisan Filem 2010 yang menyebutkan sebarang filem iklan atau segala bentuk mesej persembahan yang mempromosikan sesuatu pertubuhan, barangan dan perkhidmatan berjenama seharusnya beretika. Kedua-dua penyiar tersebut dikatakan telah membuang segmen yang menjadi tumpuan tersebut.
Hujah yang biasa dikemukakan bagi menyokong penapisan menyatakan bahawa prinsip kesopanan, moral dan kerendahan harus diangkat dalam semua keadaan, dan undang-undang serta sekatan hendaklah dikenakan bagi mempertahankan prinsip ini untuk kebaikan masyarakat sejagat. Namun, harus disebutkan bahawa konsep ini membawa penafsiran yang berbeza bagi setiap orang — apa yang dianggap tidak sopan bagi seseorang boleh jadi sopan bagi pihak lain. Undang-undang sekatan yang dikenakan haruslah tidak digalakkan; masyarakat yang majmuk dan berpengetahuan seharusnya didukung, bukan disekat.
Norma masyarakat, standard dan pemihakan tertentu secara hakikatnya adalah berdasarkan konteks sejarah, politik dan sosial dari masa lampau. Ianya sentiasa berkembang dan harus dicabar sekiranya ianya bermasalah, dan bukannya sekadar diterima secara bulat tanpa soal.
Tambahan lagi, sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara dan berucap, seperti penapisan, haruslah mengambil kira standard yang sudah diiktiraf secara antarabangsa, yang berpandukan prinsip dan pendekatan hak asasi manusia. Pengujian bahaya harus dijalankan bagi menentukan faktor kewajaran, nisbah dan perundangan, dan sekiranya ketiga-tiga kriteria ini dipenuhi barulah sekatan dapat dikenakan. Sebarang tindakan penapisan oleh LPF harus mengambil kira pengujian bahaya ini.
Penggunaan Garis Panduan Penapisan Filem 2010 dan sebarang peruntukkan di dalamnya berkenaan dengan pengiklanan, yang mensyaratkan “Filem iklan atau segala bentuk mesej persembahan yang mempromosikan sesuatu pertubuhan, barangan dan perkhidmatan berjenama seharusnya beretika” adalah sangat kabur. Tidak jelas apakah yang menjadi kayu ukur bahaya dalam konteks ini. Kegagalan berbuat demikian boleh ditafsirkan bahawasanya LPF memaksakan kecenderungan moral dan prejudis mereka yang ditujukan untuk menapis segala perkara yang berkait dengan gambaran atau imej bahagian badan manusia. Kerajaan dan kakitangannya sewajarnya membantu mewujudkan diskusi yang sihat dan mendidik integriti tubuh badan dan bukannya mendatangkan lagi bahaya dengan menjadikan topik ini suatu larangan.
Tambahan lagi, kami turut menggesa pihak berkuasa yang berkenaan untuk menumpukan kepada isu-isu yang lebih penting berbanding dengan penapisan yang dikerah pemerintah. Adalah lebih penting untuk bergerak ke arah pelan bagi mewujudkan Majlis Media Malaysia (MMC). Biarkan pihak media menentukan hal-hal yang bersangkut dengan media serta mengeluarkan kod etika dan kandungan mereka sendiri yang tentunya lebih secocok dengan kehidupan abad ke-21 hari ini.
Disebabkan penubuhan majlis tersebut sudah terlalu lama ditangguhkan, kami mengharapkan menteri komunikasi dan multimedia dapat mempercepatkan proses ini sebagai sebahagian daripada Indeks Pencapaian Utama (KPI) 100 hari pertama beliau. Menghentikan penapisan sebarangan oleh pihak pemerintah sewajarnya menjadi agenda utama buat beliau dan Menteri Dalam Negeri.
10 September 2021
Wathshlah G Naidu
CIJ Pengarah Eksekutif
Bagi pertanyaan media, sila hubungi comms@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.