About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
The Centre for Independent Journalism (CIJ) mengecam dengan keras taktik ancaman yang kerap diguna pakai Kerajaan bagi menutup suara-suara yang bertentangan.
Hal ini mula mendapat perhatian apabila dilaporkan bahawa beberapa penganjur dan peserta protes Undi18 telah dipanggil untuk disoal siasat polis hari ini (30 Mac 2021). Kami percaya penggunaan taktik soal siasat dari pihak berkuasa ini adalah satu bentuk ancaman terhadap suara-suara yang bertentangan dan sebarang luahan pandangan yang berbeza, justeru kami menggesa pihak kerajaan berhenti menyekat hak kebebasan bersuara dan kebebasan berkumpul.
Kebebasan bersuara adalah hak yang termeterai dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuklah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan juga Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara dan berekspresi mendukung hak dasar dalam mencari dan bertukar-tukar idea, pandangan dan maklumat yang membolehkan masyarakat awam untuk membentuk pandangan serta pegangan yang berbeza dan bertentangan, terutamanya berkenaan dengan isu-isu kepentingan awam, sekaligus mempromosikan tadbir-urus yang baik dan menyemak imbang kegiatan pemerintah.
Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin hak asasi buat semua rakyat untuk membentuk persatuan, berkumpul secara aman, dan mengangkat kebebasan bersuara. Sebarang sekatan terhadap hak-hak ini hendaklah sah, berkeperluan, atau wajar serta sejajar dengan kepentingan untuk memelihara ketenteraman awam, prinsip-prinsip moral, dan keselamatan negara.
Perhimpunan aman di luar banggunan parlimen pada 27 Mac 2021 yang lalu bertujuan untuk mendesak kerajaan mengotakan janji mereka untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, sekaligus melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik bermula Julai tahun ini. Kelulusan undang-undang Undi18 di Parlimen telah memastikan kesemua rakyat Malaysia lebih daripada 18 tahun mendapat hak perlembagaan untuk mengundi. Pihak kerajaan menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 sebagai alasanĀ untuk menafikan hak perlembagaan adalah suatu tindakan yang cuba menghakis prinsip-prinsip dasar hak asasi manusia serta mencemarkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Oleh sebab itu, kami bersolidariti bersama peserta-peserta dan penganjur Undi18. Kami menggesa pihak berkuasa untuk memberhentikan sebarang gangguan atau taktik ugutan terhadap kelompok yang membantah tanpa sebarang pengecualian, kerana menjadi tanggungjawab buat kerajaan Malaysia untuk memelihara dan menghormati hak untuk berkumpul secara aman dan kebebasan bersuara untuk semua.
29 Mac 2021
Wathshlah G. Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk maklumat lanjut, hubungi comms@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.