About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Centre for Independent Journalism (CIJ) bimbang membaca pengumuman Twitter oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkenaan dengan siasatan terhadap pelakon lelaki, Zul Ariffin, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Pelakon tersebut disiasat atas satu paparan di Instagram berupa adegan yang “berbaur seksual” daripada siri drama Melayu yang bakal disiarkan berjudul Perempuan Itu. Ciapan Twitter Tan Sri Annuar Musa itu menyatakan paparan tersebut telah menyalahi undang-undang.
Seksyen 233 AKM sendiri sangat bermasalah apabila menggariskan definisi yang terlalu luas diikuti dengan hukuman yang begitu berat sehingakan bercanggah dengan hak berperlembagaan untuk kebebasan bersuara. Seksyen ini membenarkan seseorang dikenakan penjara sehingga setahun dan didenda sehingga RM50,000 bagi memaparkan kandungan yang jelik dan ‘menyakitkan hati’ orang lain. Perkara ini melangkaui had sekatan yang sah dan dibenarkan dalam kebebasan bersuara, seperti penyekatan kenyataan berbaur hasutan terhadap keganasan atau hal-hal yang menyentuh keselamatan negara. Menurut data tinjauan media kami, pada tahun lepas sahaja, sekurang- kurangnya 236 individu yang terkesan dengan 140 siasatan, penahanan, dan dakwaan yang dibuat oleh pihak polis berhubung dengan Seksyen 233 AKM.
Penapisan kebiasaannya dibuat atas nama moral dan kesopanan, yang turut menjadi alasan yang digunakan oleh Tan Sri Annuar Musa. Namun, perkara ini tidak bersifat sejagat, dan pendekatan undang-undang sekatan untuk menapis dan menghukum individu atas perbezaan pandangan boleh membawa kita kepada penghakisan prinsip toleransi. Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Malaysia sering bermegah dengan unsur kepelbagaiaan budaya, individu dan pandangan, yang seterusnya membawa kepada kerencaman konsep berkenaan hal-hal moral. Justeru, sewajarnya menjadi tanggungjawab pihak pemerintah untuk menanggapi kepelbagaian ini dengan sikap yang pluralistik.
Tambahan lagi, kebebasan bersuara tidak hanya terhad kepada kebebasan untuk berbeza atau mengkritik, bahkan turut terpakai buat kebebasan untuk berkreativiti. Siasatan ini menutup pintu bagi sebarang bentuk kemandirian artistik bagi industri kreatif di Malaysia. Tindakan ini juga menyingkir pilihan penonton untuk membuat keputusan terdidik berkenaan dengan pilihan kandungan hiburan mereka. Adalah tidak bermanfaat buat orang awam sekiranya mana-mana pihak pemerintah mengawal kandungan hiburan mereka melalui pengawasan moral, terutamanya dengan menghukum pula individu yang terlibat. Solusi mudah yang wajar dipertimbangkan adalah dengan mewujudkan pengelasan program bagi setiap program yang disiarkan, yang secara terus akan melabel kandungan ini sebagai kandungan untuk orang dewasa, dan secara tidak langsung membolehkan para penonton membuat keputusan mereka sendiri.
Kami menyeru agar:
1) Tan Sri Annuar Musa menarik balik segala siasatan terhadap Zul Ariffin dan barisan pelakon dan kru yang terlibat dalam pembikinan drama Perempuan Itu, serta menghentikan sebarang gunaan terhadap undang-undang penapisan secara berleluasa;
2)Berhenti menggunakan peruntukan undang-undang, seperti seksyen 233 AKM, untuk menapis dan menutup suara pihak-pihak yang berbeza. Pihak pemerintah seharusnya menilai semula dan mengenakan moratorium terhadap penggunaan seksyen 233 AKM yang tidak jelas, serta berusaha untuk memansuhkan dan meminda semula beberapa peruntukan yang kabur agar ianya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan standard kebebasan bersuara antarabangsa;
3) Bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil dan pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk membentuk pemahaman yang lebih jelas, serta menggariskan definisi pembuangan kandungan dalam talian dan penapisan sambil mengambil kira konteks tempatan, standard komuniti syarikat media sosial yang sedia ada, serta keselarasannya dengan standard hak asasi manusia di peringkat antarabangsa berkenaan dengan prinsip kebebasan bersuara, kesetaraan, non-diskriminasi, dan kepelbagaian;
4) Mewujudkan suasana yang membina untuk mempromosi pemikiran yang kritis, perdebatan yang sihat, ketelusan, dan kebertanggungjawaban, serta berusaha membina kepercayaan rakyat dan membolehkan mereka membuat keputusan terdidik dengan sendiri – dan bukannya menggugah hak asasi manusia dengan lebih lanjut.
22 Mac 2022
Wathshlah G Naidu
Pengarah Eksekutif CIJ
Untuk pertanyaan, sila hubungi comms@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.