About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
1) Kenapa fail cabaran kehakiman ini?
Darurat memberikan kuasa wewenang dan tidak terkawal kepada satu cabang Kerajaan – Eksekutif – serta menghakis hak perlembagaan dan kebebasan asasi rakyat. Kerajaan boleh berbuat apa sahaja dengan menggubal sejumlah Ordinan Darurat (OD).
Ianya juga kali pertama sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah digantung dengan kelulusan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Penggantungan ini akan memberi kesan buruk kerana wakil rakyat tidak dapat memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan. Parlimen dan DUN mewakili rakyat dan cabang Kerajaan ini adalah ciri asas Perlembagaan Persekutuan. OD melumpuhkan institusi yang penting dan membungkam rakyat.
Untuk menggalakkan penyertaan orang ramai, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik, kita sebagai rakyat perlu memantau dan memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan di atas tindakannya supaya keyakinan kita terhadap demokrasi penyertaan (participatory democracy) dipulihkan. Kita mesti menuntut hak dan ruang untuk menyuarakan pendirian yang berbagai serta kepentingan kita tanpa dicederakan atau diambil tindakan. Tidak seharusnya ada penghakisan hak perlembagaan dan hak asasi kita sebagai rakyat Malaysia.
Justeru, tindakan undang-undang ini adalah untuk mengangkat kedaulatan undang-undang bagi kepentingan awam. Kami ingin mendapatkan panduan Kehakiman sama ada OD Kerajaan ini adalah sah ataupun tidak. Ianya akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini.
2) Apa yang diharapkan dengan tindakan ini?
Kami mengharapkan satu keputusan, iaitu yang pertama, mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang percubaan daripada kerajaan yang menghalang peruntukan perlembagaan yang memerlukan ordinan darurat diperbahaskan dan diundi di Parlimen; Kedua, supaya OD ini diisytiharkan tidak sah.
3) Adakah kami sedang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA)
Tidak. Kami hanya ingin mendapatkan pengisytiharan yang memerlukan badan Kehakiman mentafsirkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan memberikan pandangan berkenaan isu ini. Kami tidak mencabar kuasa yang termaktub untuk YDPA untuk mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri.
4) Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa proklamasi darurat dan ordinan yang berkaitan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah atau atas apa-apa alasan. Jadi mengapa CSO masih meneruskan tindakan undang-undang ini?
Kami percaya bahawa struktur asas Perlembagaan Persekutuan membahagikan kuasa yang sama kepada semua cabang kerajaan. Ini bermakna bahawa badan perundangan dan kehakiman mempunyai peranan pengawasan yang sama untuk fungsi semak dan imbang yang diperlukan. Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan memberikan bidang kuasa kepada badan kehakiman untuk mendengar semua kes yang dibawakan ke mahkamah. Ianya adalah ciri asas perlembagaan.
Oleh yang demikian, Perkara 150(8) yang dilihat membatalkan kuasa mahkamah dan bidang kuasanya adalah tidak berperlembagaan, justeru tidak sah dan terbatal.
Kami juga ingin mendapatkan keputusan kehakiman berkenaan isu ini.
5) Adakah tindakan undang-undang ini akan menyebabkan pembatalan perintah Darurat?
Penyelesaian yang dicari adalah pengisytiharan daripada mahkamah terhadap keperlembagaan (constitutionality) Ordinan Darurat. Sekiranya berjaya, kerajaan perlu menghormati dan mematuhi arahan mahkamah. Ini bemakna OD akan diisytiharkan tidak sah dan terbatal. Selanjutnya ia bergantung kepada kerajaan tindakan apa yang ingin diambil berkaitan dengan Proklamasi Darurat.
6) Adakah kami sebagai CSO ada hak untuk memulakan tindakan undang-undang (locus standi)?
Kami yakin kami ada hak. Ini adalah satu tindakan undang-undang berkenaan dengan kedaulatan undang-undang dan kepentingan awam. Sebagai CSO yang bekerja untuk memperkukuhkan demokrasi berparlimen dan melindungi ruang sivil di Malaysia, peranan kami untuk mengawasi dan sebagai aktivis telah dinafikan dengan penguatkuasaan Ordinan Darurat. Penggantungan Parlimen akan memberi kesan kepada kemajuan yang dibuat untuk pereformasian undang-undang kerana perbahasan dan proses meluluskan undang-undang ditangguhkan.
Oleh yang demikian, kami percaya bahawa kami mempunyai kedudukan undang-undang (legal standing) untuk mendapatkan penjelasan daripada mahkamah sama ada penggantungan sidang Parlimen dan DUN oleh Ordinan Darurat adalah berperlembagaan kerana keputusan tersebut secara langsung memberi kesan kepada kerja kami.
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.