About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Memorandum kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia bersempena dengan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia
Centre for Independent Journalism (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan National Union of Journalists Malaysia (NUJM) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap status kebebasan media di Malaysia serta tren menyekat akses, gangguan serta tekanan ke atas media oleh pihak berkuasa.
Kami juga bimbang dengan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar Reporters Without Borders (RSF) yang semakin merosot. Indeks Malaysia jatuh ke kedudukan 119 dari 180 negara, turun 18 mata dari kedudukan 101, antara prestasi terbaik yang pernah dicatat sebelum ini. Penarafan terkini ini bukanlah satu hal yang mengejutkan atas beberapa alasan, susulan kemelut politik yang melanda sejak Perikatan Nasional mengambil alih tampuk kuasa pada Mac 2020 telah menghalang media dari menjalankan tugas secara bebas. Lebih lanjut, terdapat tekanan berterusan terhadap wartawan dan agensi media terkait laporan dihasilkan sepanjang pandemik Covid-19, atau secara khususnya penggunaan undang-undang yang menekan kebebasan media.
Kini, peranan media semakin kritikal dengan kemunculan dan penyebaran Covid-19. Media memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan dalam menapis sebahagian besar aliran maklumat dan kajian bagi mengemas kini pengesanan penyakit serta dasar-dasar penting yang ditetapkan oleh kerajaan. Media juga terus membuat liputan berita pelbagai daerah sekatan di Malaysia, kesan sosio-ekonomi Covid-19, melawan laporan ‘penawar’ atau ‘ubat’ yang tidak dibuktikan secara saintifik namun disahkan oleh ahli politik serta doktor palsu, pada masa yang sama bekerja ke arah membendung kegusaran awam.
Kami ingin menarik perhatian kepada isu-isu kritikal berikut dan kesan menggerunkan kepada kebebasan media di Malaysia:
a. Daya maju ekonomi media
Media di Malaysia, terutama media cetak tradisional, telah menghadapi kekangan keuangan sejak sebelum pandemik Covid-19 akibat penurunan jumlah langganan dan hasil iklan. Keadaan ini memburuk dengan penyebaran wabak Covid-19, menyumbang kepada tren pengecilan operasi besar-besaran dalam industri media Malaysia.
Wartawan merupakan antara yang menerima kesan buruk akibat penutupan atau pengecilan operasi banyak syarikat media. Sejumlah 400 orang wartawan telah kehilangan pekerjaan dalam tempoh setahun yang lalu. Siri pembuangan kerja sejak Mac 2020, ketika Perintah Kawalan Pergerakan pertama kali diumumkan, turut mengakibatkan jumlah ahli NUJM merosot dari kira-kira 1,000 orang kepada hanya kira-kira 500 sehingga bulan lepas.
Sehingga kini, pakej rangsangan dan pemulihan Covid-19 yang diumumkan kerajaan masih gagal untuk menyelesaikan kesan buruk ekonomi dihadapi media.
b. Kesihatan dan keselamatan media
Terdapat kebergantungan tinggi kepada media sebagai saluran komunikasi utama bagi mempromosikan respons adaptif dalam memupuk pendekatan yang sesuai bagi amalan kesihatan dan kebersihan serta kepatuhan langkah-langkah pencegahan Covid-19.
Walau bagaimanapun, wartawan dan juru foto yang berperanan di barisan hadapan mempunyai risiko yang lebih tinggi. Mereka sering terdedah kepada risiko jangkitan akibat sikap acuh tak acuh dan kadar kepatuhan prosedur operasi standard yang rendah, sebagai contoh penjarakan sosial, di sesetengah acara anjuran anggota kerajaan.
Kerajaan telah gagal memberikan keutamaan kepada kesihatan media serta perlindungan keselamatan. Ini terbukti oleh fakta bahawa media masih belum divaksin. Setakat April 27, kerajaan hanya mengumumkan bahawa 1,500 anggota media akan diberikan keutamaan untuk divaksin pada Mei 2021. Ini sebagai respon kritikan terhadap ketidaktelusan kerajaan dalam mengagihkan vaksin kepada media, susulan laporan terdapat sebuah agensi media didakwa memotong barisan dan berjaya memvaksin pekerja syarikat berkenaan.
c. Sekatan akses membuat laporan
Sidang media selepas taklimat peringkat tinggi oleh menteri kanan terus terhad kepada hanya media “rasmi” milik kerajaan. Ini mengenepikan media yang lebih bebas, termasuk portal berita online, seringkali lebih kritikal terhadap pemerintah dan dasar kerajaan.
Tahun lepas juga menyaksikan lebih banyak sekatan dalam akses kepada sidang parlimen dan dewan undangan negeri. Akses hanya diberikan kepada media rasmi atau media tertentu tanpa kriteria yang jelas dan telus. Dalam semua insiden ini, wabak Covid-19 telah dijadikan alasan bagi kekangan yang tidak seimbang dan mendiskriminasikan.
Kurangnya akses kepada acara rasmi oleh kebanyakan media bererti bahawa berita yang dilaporkan telah dimonopoli oleh media kerajaan atau media pro-kerajaan, oleh itu, akan hanya mencerminkan nada dan pesan yang selari dengan pihak kerajaan tanpa analisis kritikal atau laporan berimbang.
d. Media crackdowns Tindakan keras ke atas media
Tahun lalu menyaksikan beberapa wartawan dan agensi media disiasat, diganggu serta diambil tindakan undang-undang oleh kerajaan kerana laporan bersifat kritikal, atau pandangan dan platform berbeza. Antara kes berprofil tinggi termasuk bekas koresponden South China Morning Post (SCMP) Tashny Sukumaran, Ketua Pengarang CodeBlue Boo Su-Lyn, Malaysiakini serta Ketua Pengarangnya, Steven Gan, GerakBudaya dan penulis-penulis buku “Rebirth” serta Al-Jazeera.
Senarai ini tidak termasuk pelbagai insiden gangguan online oleh menteri-menteri terhadap wartawan yang didakwa salah melaporkan berita. Bila dilihat secara bersama, ia boleh ditafsirkan sebagai usaha yang sengaja dan tersusun dengan niat untuk menyekat kebebasan media.
e. Penggunaan undang-undang menekan untuk mendiamkan media
Pelbagai undang-undang menekan dan lapuk telah digunakan ke atas media dan wartawan tahun lalu. Undang-undang ini meliputi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. Undang-undang lain termasuk Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.
Seringkali tujuannya adalah untuk menyasarkan dan memberikan tekanan kepada media menggunakan undang-undang ini apabila kerajaan ditonjolkan dari sisi negatif.
Oleh itu, kami senaraikan tuntutan-tuntutan berikut kepada pihak kerajaan:
#1 Menubuhkan Dana Daya Tahan Media bagi menyokong dan mengekalkan kelangsungan hidup, amalan serta operasi anggota media selama pandemik Covid-19. Dana tersebut boleh menawarkan geran kecil kepada individu dan organisasi media bagi mengimbangi atau mengembalikan kerugian keuangan, menyesuaikan kegiatan serta meneroka model operasi baru di era gangguan dan krisis ekonomi.
#2 Mempercepat dan menjamin akses yang saksama kepada vaksin untuk anggota media. Kerajaan harus meneruskan proses vaksinasi anggota media sepanjang Mei 2021 dengan mendaftarkan secara terbuka dan telus semua wartawan dan kru barisan hadapan. Selain pekerja sepenuh masa agensi media, proses ini haruslah meliputi semua wartawan bebas (stringer) serta wartawan separuh masa, di semua lokasi di Malaysia.
#3 Menjamin akses yang bebas dan adil kepada semua media, tanpa mengira pegangan, jenis media ataupun lokasi. Tidak ada lagi sekatan secara sepihak atau mendiskriminasikan kehadiran di sidang media atau acara kerajaan, serta apa-apa inisiatif kerajaan, termasuk namun tidak terhad kepada sidang parlimen, Dewan Undangan Negeri, pendengaran terbuka dan pendengaran awam. Covid-19 tidak harus dijadikan alasan untuk menyekat akses media.
Kerajaan juga harus menjamin semua langkah penjagaan jarak dan pematuhan SOP telah diambil serta dipatuhi dalam setiap acara.
#4 Gugurkan semua siasatan dan hentikan tindakan mengintimidasi atau keras terhadap media dan wartawan.
#5 Moratorium serta-merta ke atas penggunaan undang-undang menindas, dan kerajaan mengguna pakai pelan yang diperlukan, tanpa penangguhan, bagi menyemak semula dan meminda atau memansuhkan undang-undang berikut, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, Akta Hasutan 1948, dan Akta Rahsia Rasmi 1972, antara lain;
#6 Bergerak ke hadapan bagi penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai badan kawalan kendiri industri yang bebas dan telus. Mempunyai sebuah majlis media akan dapat menghalang kerajaan dan agensi-agensinya dari muncul sebagai penimbang tara tunggal bagi kebenaran, atau secara sepihak menapis dan menghukum media yang kritikal terhadap pemerintah.
Kerajaan harus mempromosikan kebebasan media serta menciptakan lingkungan yang membenarkan media berfungsi dengan bebas tanpa rasa takut terhadap kesan dari menjalankan tugas untuk melaporkan berita. Ini memerlukan komitmen kerajaan agar melangkaui retorik dan melaksanakan semua janji yang telah dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, menegaskan bahawa kerajaan semasa akan mengusung kebebasan media serta mengguna pakai langkah-langkah meminda undang-undang yang menyekat kebebasan media.
Dikeluarkan bersama oleh CIJ, GERAMM dan NUJM
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.