About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Kami daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil yang sama-sama memperjuangkan kebebasan berkumpul menyatakan solidariti bersama dengan Sekretatiat Solidariti Takyat (SSR) dan aktivis yang ditahan dan dikenakan intimidasi. Kami juga bersedia menyediakan sokongan sebagai pemerhati bagi protes #Lawan.
Kadar intimidasi dan gangguan yang dihadapi aktivis #Lawan dan ahli sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) oleh pihak berkuasa, terutamanya pihak polis, adalah sangat menggusarkan dan harus segera dihentikan.
Para penganjur dan peserta protes #Lawan terpaksa berhadapan dengan intimidasi dan gangguan yang berterusan sejak 25 Julai 2021 selepas tindakan protes mereka di Dataran Merdeka yang berlangsung pada 17 Julai 2021, diikuti dengan konvoi pada 24 Julai 2021. Berikut adalah kronologi kejadian:
1. 25 Julai – 13 aktivis dipanggil pihak polis untuk disoal siasat di beberapa balai polis, termasuklah di IPD Brickfields, IPD Sepang dan IPD Melaka Tengah;
2. 26 Julai – 10 aktivis dan peserta protes diapnggil untuk disoal siasat di beberapa balai polis, termasuklah di IPD Brickfields, IPD Dang Wangi dan IPD Kajang;
3. 27 Julai – 3 aktivis iaitu Wan Shakila, Nu’man Shaharman dan Umar Azmi dipanggil sekali lagi ke IPD Brickfields untuk disoal siasat walaupun telah hadir pada hari sebelumnya;
4. 28 Julai – Seorang aktivis ditahan dan diberikan jaminan manakala dua orang lagi dipanggil untuk disoal siasat buat kali kedua;
5. 29 Julai – pengasas bersama MISI Solidariti, Sarah Irdina telah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan rumahnya juga digeledah. Sarah ditahan di balai polis Jinjang dan dibebaskan pada 12.30 pagi pada 30 Julai;
6. 29 Julai – 3 aktivis, Muhammad Alshatri, Tharma Pillai dan Afiq Adib, dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk disoal siasat berkenaan protes yang dijangka berlangsung pada 31 Julai 2021 serta paparan media sosial yang menggesa Perdana Menteri meletak jawatan, pembukaan semula parlimen, dan pemansuhan Darurat.
Respons yang tidak berpatutan terhadap protes yang aman dan teratur ini adalah sesuatu yang tidak munasabah dan melanggar hak mereka untuk bersuara, berkumpul dan berpersatuan. Penganjur telah menjelaskan dengan penuh cakna akan soal keselamatan para hadirin dan telah mengambil langkah-langkah yang sesuai dan bertepatan dengan SOP serta sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis sejak dari awal.
Kami ingin mengingatkan pihak kerajaan dan pihak polis kepada seruan daripada pelbagai organisasi agar Seksyen 233 akta Multimedia dan Komunikasi dan akta Hasutan 1948 harus segera dimansuhkan kerana beberapa peruntukannya adalah zalim dan tidak sejajar dengan perkembangan semangat demokratik yang progresif di negara ini. Pelaksanaan undang-undang yang menindas ini hanyalah untuk menyalah guna kuasa, intimidasi, dan mendiamkan aktivisme golongan belia. Seruan yang dibuat oleh aktivis #Lawan tidak langsung mendatangkan apa-apa bahaya kepada rakyat dan ianya selari dengan hak perlembagaan bagi rakyat di negara ini.
Dengan itu kami menggesa Ketua Polis Negara (IGP) untuk menarik semua siasatan dan dakwaan, serta menghentikan segala tahanan dan gangguan serta merta. Sebaliknya, langkah-langkah proaktif harus diambil untuk menyokong hak kebebasan untuk berkumpul serta dihulurkan bantuan dan perlindungan bagi hadirin yang hadirin yang protes. Kami juga ingin mengingatkan IGP bahawa pihak polis seharusnya bersikap berkecuali dalam melaksanakan tugas mereka kepada rakyat. Tindakan PDRM, serta respons dan kegiatan mereka haruslah berpandukan piawai hak asasi manusia di peringkat antarabangsa bagi mengelak pencabulan hak asasi dan kebebasan yang dimiliki rakyat.
Sejajar dengan perjuangan kebebasan bersuara dan hak-hak kebebasan yang asasi, serta perkembangan intimidasi dan gangguan yang kami ikuti baru-baru ini, sekumpulan ahli masyarakat sivil sepakat untuk bertindak sebagai pemerhati pada protes tersebut bagi membantu dan memantau sebarang pelanggaran hak asasi manusia.
Kami merasakan langkah ini penting untuk memastikan hak untuk mengadakan protes secara aman sungguhpun di kala waktu krisis terus dilindungi. Kami akan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi memastikan kami dapat melaksanakan tugas kami sebagai pemerhati dengan risiko yang minimum kepada peserta protes dan khalayak umum.
Kenyataan ini ditandatangani secara bersama oleh organisasi masyarakat sivil berikut:
1. Centre for Independent Journalism
2. KRYSS Network
3. Amnesty International Malaysia
4. Justice for Sisters
5. Sisters in Islam (SIS)
6. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
7. Freedom Film Network (FFN)
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.