About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Kebebasan maklumat menjadi lebih penting dengan kemunculan wabak Covid-19, menurut sebuah badan pemerhati antirasuah dan kumpulan penyokong media.
Bercakap dengan FMT sempena Hari Antarabangsa Mengenai Akses Sejagat Kepada Maklumat anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menekankan bagaimana aliran maklumat yang tidak terhad sangat penting untuk mencapai akauntabiliti dan ketelusan dan ini dapat membantu orang ramai membuat keputusan yang tepat.
“Pada masa krisis, banyak prosedur diatasi atas nama Darurat dan tiada (proses) semak dan imbang. Ini mengakibatkan hak-hak kita lebih dirampas,” kata Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel.
“Jika kita ada undang-undang persekutuan berkait kebebasan maklumat, mana-mana individu dapat memohon untuk mendapatkan maklumat mengenai vaksin, pakej rangsangan, memahami bagaimana sebahagian besar dana awam dibelanjakan dan menuntut akauntabiliti lebih besar.”
Beliau menyentuh mengenai Parlimen yang tidak bersidang selama enam bulan selama tempoh Darurat, dari Januari ke Ogos, sambil menambah, beberapa Ordinan Darurat yang diluluskan dalam tempoh ini, terutamanya berkait perbelanjaan kewangan, menimbulkan banyak kebimbangan kerana “wang mengalir tanpa had dan penelitian”.
Gabriel juga menyebut bagaimana kerajaan belum membuat penjelasan mengenai pinjaman RM11.5 bilion yang didaftarkan di laman web Bank Negara Malaysia beberapa hari sebelum bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, mengundurkan diri pada 16 Ogos.
Laman web BNM menunjukkan bon bernilai jutaan ringgit dikeluarkan oleh kerajaan dengan bank pusat sebagai orang tengah, dengan ketiga-tiga transaksi itu dilabelkan sebagai Bil Perbendaharaan Islam Malaysia, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan.
“Apakah (transaksi-transaksi) itu? Kami telah meminta penjelasan, tetapi setakat ini, belum diberikan,” katanya.
Sementara itu, pegawai program Hak Mendapatkan Maklumat CIJ, Lee Shook Fong berkata, oleh sebab maklumat yang dipegang pihak berkuasa awam adalah pada dasarnya maklumat awam, kerajaan mesti beralih daripada budaya kerahsiaan kepada sikap yang lebih terbuka dan telus.
“(Ini) memerlukan penggubalan undang-undang yang akan mewujudkan rejim maklumat yang lebih progresif,” katanya.
“Pada zaman yang mencabar ini, terutamanya apabila kita terus berperang dengan wabak Covid-19, mendapatkan akses kepada maklumat yang diyakini dan dapat disahkan pada masa yang tepat akan membantu masyarakat umum menjadi lebih berpengetahuan mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada mereka.
“Pada masa-masa krisis juga penting bagi kerajaan untuk menerapkan langkah pendedahan maklumat kepada umum sebagai satu alat yang berkesan untuk memerangi penyebaran maklumat salah, berbanding mengehadkan akses umum kepada maklumat penting.
“Sebagai contoh, kita ingin lebih banyak maklumat mengenai mengapa sesetengah vaksin berkesan untuk segelintir orang, tetapi tidak untuk yang lain. Apa yang sedang kerajaan buat untuk memastikan pemberian vaksin yang lebih efisien?”
Tambahnya, apabila masyarakat dilengkapi dengan maklumat yang tepat, mereka dapat membuat keputusan yang baik atau mennggesa sesuatu tindakan berkenaan dasar, peraturan atau projek infrastruktur yang diusulkan.
Contohnya kata Lee, memberi komuniti akses kepada maklumat yang berkaitan, seperti laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi pembangunan yang dirancang berdekatan tempat tinggal mereka.
Gabriel juga menyentuh tentang bagaimana kebebasan maklumat sangat penting bagi komuniti yang ingin belajar mengenai isu-isu alam sekitar yang memberi kesan kepada mereka dengan menggunakan isu Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebagai contoh utama.
Laporan teknikal mengenai penyahwartaan, dokumen hasil daripada sesi dialog awam dan permohonan salinan laporan Jabatan Perhutanan mengenai hutan simpan berkenaan tidak pernah diberikan sekalipun ribuan rakyat Selangor menyuarakan kebimbangan mengenai risiko terhadap kesihatan dan iklim berkaitannya.
Walaupun keputusan untuk menyahwarta hutan simpan berkenaan dibuat pada 5 Mei oleh majlis Exco Selangor, masyarakat awam hanya mengetahuinya hampir empat bulan kemudian, iaitu pada 30 Ogos, apabila maklumat ini didedahkan oleh seorang Exco negeri, Hee Loy Sian, pada sidang Dewan Undangan Negeri.
Selangor, selain Pulau Pinang, adalah dua negeri yang mempunyai enakmen kebebasan maklumat. Bagaimanapun, undang-undang persekutuan, seperti Akta Rahsia Rasmi, mengehadkan akses kepada sesetengah maklumat dengan mengklasifikasikannya sebagai rahsia rasmi.
Source: Free Malaysia Today
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.