About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
CIJ dan rakan kerjasama kami menjangkakan ucapan benci dan penyebaran maklumat palsu akan semakin berleluasa, terutamanya dalam media sosial sewaktu PRU15 nanti. Kegiatan yang sama terjadi pada pilihan raya sebelumnya, termasuk juga keadaan lain yang berpotensi untuk mengnyahstabilkan dan mengancam pihak yang berkuasa. Contohnya seperti tempoh selepas Langkah Sheraton, serta sewaktu wabak COVID-19 berlangsung.
Ahli politik dan beberapa tokoh individu selalu menggunakan ekspresi dan retorik yang mengapi-apikan untuk mengawal naratif dan mempengaruhi pandangan awam tentang isu-isu bangsa, agama, kerabat diraja, gender dan LGBTIQ, serta pelarian dan pendatang asing. Mereka berbuat demikian untuk kepentingan politik masing-masing dan bukan untuk memberdayakan demokrasi.
Ucapan benci, khususnya, sangat bermasalah. Ianya mengalih perhatian yang sewajarnya disalurkan kepada pemikiran berorientasikan penyelesaian. Ucapan benci turut meningkatkan risiko yang membahayakan individu dan kelompok terpinggir.
Tujuan projek ini adalah untuk memantau tahap keseriusan ucapan benci serta membina respons kolektif terhadap naratif berpaksikan kebencian sebelum dan sewaktu PRU15 berlangsung, serta memberdayakan orang awam untuk memberi respons dengan lebih efektif apabila berdepan dengan ucapan benci.
Projek ini mempunyai dua komponen.
1. Komponen Pemantauan
Komponen Pemantauan ini adalah hasil kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan University of Nottingham Malaysia.
Pemantauan ini akan mengukur tahap keseriusan ucapan benci sekitar isu bangsa, kerabat diraja, gender dan LGBTIQ, serta pelarian dan pendatang asing. yang diperluas oleh parti-parti politik, ahli politik, agensi kerajaan, organisasi media, dan pandangan-pandangan tokoh masyarakat.
Tahap keseriusan ini ditentukan seperti berikut:
Tahap 1: Perucapan percanggahan atau tidak ofensif
Tahap 2: Perucapan yang ofensif atau diskriminatif
Tahap 3: Perucapan yang menyahmanusiakan dan mengancam
Tahap 4: Perucapan yang menghasut atau menyeru untuk bertindak (ganas)
Kita akan memantau 96 akaun media sosial dari empat platform, iaitu Facebook, Twitter, Youtube dan TikTok. Akaun-akaun ini termasuklah yang dikendalikan oleh parti-parti dan orang politik penting dari UMNO, PKR, MUDA, DAP, mantan perdana menteri Najib Razak, perdana menteri sementara Ismail Sabri, dan Police Diraja Malaysia (PDRM). Kita juga akan memantau akaun media sosial yang dimiliki oleh pihak media dan tokoh-tokoh berpengaruh dalam masyarakat seperti Berita Harian, Sin Chew Daily, The Star, Malaysiakini, Tengku mahkota Johor, dan agamawan popular Firdaus Wong. Malahan juga, corak Perilaku Palsu Terancang (Coordinated Inauthentic Behaviours, CIB) seperti bot dan lasykar siber akan turut dipantau.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang analisa awal daripada projek perintis Pemantauan Media Sosial yang dijalankan antara 16 Ogos sehingga 30 September, sebelum parlimen dibubarkan, kepada portal kami.
2. Komponen Respons Balas Pantas
Komponen Respons Balas Pantas mengandungi sistem amaran yang dibentuk berdasarkan data pemantauan, serta boleh mengenal pasti perucapan tertentu yang memerlukan respons atau tindakan dengan segera. Komponen Respons Balas Pantas melibatkan kerjasama antara CIJ dengan Pusat Komas, Sisters in Islam (SIS), Architects of Diversity (AOD), Beyond Borders, Asylum Access, Sahabat Wanita, Tenaganita, North South Initiative (NSI), dan Justice for Sisters. Rakan kerjasama kami akan turut menyumbang naratif dan kandungan bagi melawan ucapan benci yang mencetuskan sistem amaran kami.
Respons dan tindakan yang diambil adalah berdasarkan peringkat keseriusan dan risiko. untuk respons bagi tahap pertama, CIJ dan rakan kerjasama lain akan menyediakan bantuan komunikasi seperti amaran keselamatan, Soalan-Soalan Lazim (FAQs) yang berpandukan bukti, kenyataan, siaran media dan interaksi media sosial. Kami juga akan membantu pihak media dan orang awam bagi mendapat akses untuk mekanisme laporan media sosial.
Sumber-sumber tambahan turut disediakan bagi memberikan tindakan solidariti dan bantuan, antaranya melalui Tabung Bantuan Guaman (LDF) dan beberapa perkhidmatan yang lain. Bagi melawan maklumat palsu dan maklumat tersasar, amaran akan disalurkan kepada inisiatif penyemak fakta.
Pelancaran laman mikro “Katakan Tidak pada Ucapan Benci”
Laman mikro ini akan menyediakan data yang dikutip dari pemantauan harian untuk dinilai dan dianalisa oleh orang awam. Portal ini membekalkan pihak media dan masyarakat awam dengan sumber-sumber yang penting. Selain itu, sesiapa sahaja boleh melaporkan ucapan benci melalui laman mikro ini.
Selain daripada individu yang memainkan peranan bagi menghentikan sebaran maklumat palsu dan ucapan benci, pihak kerajaan, parti-parti politik, para calon dan media juga harus memainkan peranan mereka. Sila lihat di sini untuk saranan kami bagi tindakan-tindakan baik yang boleh diamalkan.
Untuk maklumat lanjut, hubungi,
Wathshlah Naidu: exec_director@cijmalaysia.net
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.