About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Centre for Independent Journalism (CIJ), Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) sangat kecewa melihat tindakan Parlimen Malaysia berulang kali cuba menyekat liputan media terhadap persidangan yang bakal berlangsung di Dewan Rakyat dengan menghadkan hanya pada 16 agensi media. Kami menggesa agar diberikan akses media yang adil dan saksama untuk setiap waktu persidangan parlimen, terutamanya pada masa krisis ini.
Dua tahun telah berlalu sejak mulanya wabak Covid-19, namun isu kesenjangan akses terhadap liputan media masih belum selesai. Organisasi-organisasi media sewajarnya diberikan kebebasan untuk melaporkan sesi persidangan parlimen yang bakal bermula bermula pada 13 September 2021 sehinggalah 12 Oktober 2021. Sebarang tindakan menyekat organisasi media memberi dampak yang buruk pada kebebasan media, terutamanya apabila puncak kepimpinan tertinggi kini banyak membicarakan soal pembaharuan institusi dan tadbir urus yang baik.
Hanya 16 saluran media yang dibenarkan untuk hadir dan membuat liputan pada persidangan Dewan Rakyat yang bakal berlangsung di Parlimen, menurut kenyataan media oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Perkara ini sama seperti persidangan parlimen yang lepas pada Oktober 2020, dengan hanya perubahan yang kecil pada senarai media.
Kami menggesa Yang di-Pertua untuk menjelaskan sebab mengapa media-media tertentu tidak dibenarkan untuk membuat liputan persidangan. Kenyataan Azhar juga tidak menyatakan bagaimana proses pemilihan saluran media dijalankan, dan hal ini tentunya menimbulkan keraguan akan soal berat sebelah dan ketelusan dalam menjalankan proses tersebut. Mereka harus menyatakan sebab mengapa hanya media tertentu yang dibenarkan, dan untuk berlaku lebih adil lagi, sewajarnya hanya media yang rasmi sahaja diberikan akses membuat liputan.
Sudah begitu banyak kes apabila pihak berkuasa, kerajaan atau penganjur cuba melemahkan peranan media sebagai tonggak keempat yang tentunya sangat penting dalam memastikan kelangsungan demokrasi yang sihat.
Hal ini jelas menunjukkan bahawasanya pihak berkuasa yang terus menerus mengenakan sekatan gagal memahami kepentingan kehadiran warga media, bahkan juga peranan besar media yang bebas dalam masyarakat.
Sejak itu, terdapat begitu banyak contoh-contoh sekatan yang akhirnya mengabsahkan seruan kami untuk media diselia-kawal secara kendiri, iaitu pengamal media mempunyai suara yang tuntas untuk membuat pilihan-pilihan penting yang memberi kesan kepada operasi mereka dan keadaan kebebasan media secara umumnya.
Dalam hal ini, sekiranya dirasakan ada kepentingan untuk menghadkan jumlah organisasi media di parlimen, organisasi media yang sedia ada seharusnya duduk berbincang dan memutuskan bagaimana untuk mengambil giliran berdasarkan perancangan liputan bagi setiap organisasi. Prinsip yang sama boleh diguna pakai bagi kesemua liputan bersifat fizikal pada waktu pandemik, berbanding pemutusan unilateral yang dibuat oleh pihak berkuasa atau penganjur.
Kami menggesa sekatan yang dikenakan segera dihentikan bagi melindungi hak-hak warga media serta membolehkan keadaan yang selamat dan memberdayakan buat media untuk menjalankan tanggungjawab mereka tanpa sekatan berdiskriminasi atau sebarang bentuk gangguan.
9 September 2021
Dikeluarkan oleh:
Centre for Independent Journalism (CIJ)
Gerakan Media Merdeka (Geramm)
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ)
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.