About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
KOTA KINABALU: Ketiadaan undang-undang yang menjamin kebebasan maklumat menjadi penghalang bagi penyelidikan dan hak masyarakat untuk tahu, kata seorang pensyarah.
Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung berkata, jaminan perlembagaan terhadap kebebasan bersuara tidak memastikan kebebasan maklumat sebagai hak asasi.
Oleh itu, ketiadaan undang-undang khusus menyukarkan orang ramai untuk mendapatkan akses kepada maklumat yang menjadi kepentingan umum, kata beliau.
“Pertama sekali, bukan semuanya percuma kerana anda perlu membayar untuk memperoleh maklumat tertentu seperti daftar pemilih yang saya perlukan untuk kajian dan penyelidikan politik saya,” kata beliau dalam forum maya mengenai hak mendapat maklumat.
Beliau menambah, sekiranya data itu maklumat kerajaan, ia patut tersedia secara percuma kepada orang ramai.
“Keduanya, kerajaan memang tidak memiliki maklumat yang diperlukan orang ramai,” kata beliau.
“Saya juga terlibat dalam kajian mengenai pendatang asing tanpa dokumen, tetapi maaf cakap, tiada agensi khusus di Sabah yang mempunyai data atau statistik tepat mengenai populasi sebenar pendatang asing di negeri ini. Kita kadang-kadang harus menerima (kenyataan itu).”
Bagaimanapun, pembantu menteri negeri, Joniston Bangkuai berkata, orang ramai masih boleh mendapatkan maklumat yang diperlukan, tetapi perlu berusaha lebih.
“Saya rasa kita ada akses kepada semua maklumat, tetapi terserah kepada kita untuk lebih berusaha. Ada agensi yang boleh kita dekati dan jika ada bukti mereka berusaha menyembunyikan maklumat yang penting bagi orang ramai, kita mempunyai undang-undang (untuk menanganinya).
“Gunakan undang-undang sedia ada untuk mendapatkan maklumat dan anda boleh pergi ke mahkamah untuk memaksa sesebuah agensi atau jabatan untuk mendedahkan (maklumat yang diperlukan),” kata beliau.
Beliau berkata, beliau akan menyokong undang-undang yang menjamin hak mendapat maklumat.
Pengarah eksekutif Pusat Jurnalisme Bebas (CIJ), Wathshlah Naidu berkata, wujud halangan untuk mengakses maklumat seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan serta peruntukan dalam Kanun Keseksaan.
Untuk undang-undang berkenaan kebebasan maklumat diwujudkan, undang-undang lain perlu diubah untuk mengelakkan percanggahan.
Pada Disember, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan bersikap terbuka terhadap cadangan untuk mengkaji semula sesetengah undang-undang, terutamanya OSA.
Penambahbaikan tertentu boleh dilakukan untuk mengimbangkan kepentingan rakyat dengan kepentingan negara, kata beliau.
Pada November 2019, menteri undang-undang ketika itu, Liew Vui Keong berkata, OSA akan dimansuhkan, tetapi beberapa fungsi pentingnya akan digabungkan dalam usul Akta Kebebasan Maklumat.
Sumber: Free Malaysia Today
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.