About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Platform CSO untuk Perubahan (CSO Platform for Reform) menuntut penangguhan sementara Akta Hasutan 1948 dan seterusnya memansuhkan akta ini.
Kami kesal kerana mendengar tujuh (7) aktivis #LAWAN dari Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang dipanggil sekali lagi untuk siasatan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, dan kali ini dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Tahun ini sahaja, sepanjang Januari sehingga Ogos, dalam pemantauan kami1 mendapati sebanyak 17 kes melibatkan 37 individu, pembela hak asasi manusia dan karyawan telah disiasat di bawah akta yang menindas dan kuno ini. Semenjak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memegang kuasa pada Mac 2020, Akta Hasutan digunakan terus menerus sebagai senjata untuk menekan perbezaan pendapat dan perbahasan yang kritikal di Malaysia.
Siasatan terhadap aktivis #LAWAN dan penyokongnya tidak mempunyai alasan yang munasabah, dua darjat, dan menunjukkan tekanan yang hebat oleh pihak berkuasa untuk mendiamkan sebarang ekspresi dan hak bersuara. Ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan Akta Hasutan digunakan sewenang- wenangnya. Malahan, ia digunakan untuk penyiasatan, penindasan dan pendakwaan terpilih. Ia hanya mewujudkan suasana menakutkan untuk menafikan hak rakyat untuk bebas bersuara sebagaimana telah dijamin oleh perlembagaan. Ini isyarat yang menunjukkan kerajaan sedang menjadikan negara ini sebagai negara polis. Atas sebab ini, Akta Hasutan yang lapuk ini perlu dimansuhkan.
Pembela hak asasi manusia menjadi peranan yang penting dalam masyarakat di mana mereka mempromosikan pembaharuan dan tatatadbir yang baik. Dengan itu, mereka mewujudkan peluang untuk perbahasan dan ekpresi di atas nilai yang dikongsi bersama. Peranan tersebut sepatutnya dipertahankan sebagai bahagian yang penting dalam penyertaan umum, untuk mewujudkan wacana sivik yang mantap dan demokrasi sihat melalui penelitian awam, kritikan dan pertukaran pendapat.
Seperti yang sering kami tuntut, sebarang sekatan terhadap kebebasan ekpresi seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mesti sah, wajar dan seimbang. Tindakan menghukum dengan alasan kritikal terhadap kerajaan pada hari ini tidak menepati sebarang kriteria tersebut, dan ia bercanggah dengan piawaian kebebasan berekpresi antarabangsa. Malaysia berulangkali menjanjikan untuk memansuhkan undang-undang tersebut di Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2013 dan Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2018.
Kita menggesa agar Kabinet Perikatan Nasional yang baru dilantik untuk menunjukkan lanskap pembaharuan di Malaysia tidak mati, dan mereka terus komited untuk mentadbir dengan tatakelola yang baik dan berakauntabiliti berdasarkan hak asasi manusia sejagat dan kebebasan ekspresi, berhimpun dan bersuara.
Justeru, kita mendesak Kerajaan Malaysia untuk:
1. MENGGUGURKAN semua siasatan dan menghentikan semua tindakan intimidasi dan tindak balas terhadap penganjur #LAWAN, penyokongnya dan semua pembela hak asasi manusia yang menjalankan hak mereka untuk bebas berekspresi, bersuara dan berhimpun;
2. Segera MENGEMBALIKAN SEMULA penangguhan penggunaan Akta Hasutan dan undang-undang lain yang menindas;
3. MEMANSUHKAN Akta Hasutan, dan;
4. MENGHENTIKAN sebarang penyalahgunaan terhadap sistem undang-undang untuk memalukan, mendiamkan dan mengganggu individu yang menjalankan hak mereka untuk berekspresi, bersuara dan berhimpun.
Kerajaan sekarang wajib bertindak dan menyediakan persekitaran hak asasi manusia di Malaysia supaya tidak menjadi rapuh dengan mewujudkan situasi di mana pembela hak asasi dan orang awam hidup dalam ketakutan.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Platform CSO untuk Perubahan
1 Penafian: Statistik ini dipetik dari pemantauan laporan media Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Centre for Independent Journalism (CIJ) dan mungkin tidak merangkumi semua kes Akta Hasutan. Oleh itu, data kami mungkin berbeza dari statistik rasmi atau data daripada organisasi lain. Ini juga bermaksud mungkin ada ramai lagi yang masih disiasat, ditangkap atau didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.