About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
PARLIMEN harus membantu memudahkan liputan prosidingnya bagi organisasi berita dan bukan menyekatnya, kata Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengenai arahan yang hanya membenarkan media tertentu membuat liputan pada mesyuarat Parlimen akan datang.
Keputusan itu boleh dianggap sebagai diskriminasi dengan mengehadkan akses media sedangkan Parlimen sepatutnya memikirkan cara lebih konstruktif untuk digunakan serta pada masa melindungi kesihatan dan keselamatan media, kata CIJ.
“Peranan kerajaan adalah untuk mewujudkan suasana yang membolehkan media beroperasi pada saat krisis kesihatan awam.
“Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat akses dan mengehadkan kebebasan media, akhirnya menafikan akses orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat pada masanya dan seimbang mengenai proses Parlimen, terutama ketika belanjawan dibahaskan,” katanya dalam kenyataan oleh pengarah eksekutifnya Wathshlah G. Naidu.
Hanya 15 organisasi berita, kebanyakannya milik kerajaan atau berkaitan, dibenarkan membuat liputan sidang Dewan Rakyat pada 2 November hingga 23 Disember. Mesyuarat ini akan merangkumi pembentangan Belanjawan 2020 pada 6 November.
CIJ berkata portal berita dalam talian dikeluarkan daripada senarai media yang dibenarkan dan mempersoalkan bagaimana Parlimen memutuskan organisasi mana yang harus dibenarkan untuk membuat liputan prosiding.
“Mengapa portal berita dalam talian diketepikan?”
Ia mencadangkan pelbagai langkah boleh diambil oleh Parlimen untuk mempermudahkan liputan media, seperti membenarkan lebih banyak organisasi tetapi mengehadkan jumlah kakitangan; menukar bilik kosong di bangunan kepada bilik media; dan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan menyediakan stesen pensanitasi tangan di sekitar premis.
CIJ berkata keputusan Parlimen membenarkan media terpilih adalah yang terbaru dalam trend “pengurangan ruang untuk media tempatan dan antarabangsa bagi membuat laporan” menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan.
“Ini jelas menunjukkan cubaan kerajaan mengawal naratif dan bagaimana dan oleh siapa maklumat boleh diberikan kepada umum.” – 17 Oktober, 2020.
Sumber: The Malaysian Insight
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.