About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Platform CSO untuk Perubahan, gabungan 75 pertubuhan masyarakat madani Malaysia (CSO), berasa bimbang dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari 2021. Ia diumumkan dengan alasan bahawa kes COVID-19 sedang meningkat dan memberi tekanan terhadap sistem kesihatan awam, dan akan dikuatkuasakan hingga 1 Ogos 2021, atau lebih awal jika jumlah kes COVID-19 semakin berkurangan.
Dalam kenyataannya, Perdana Menteri juga mengeluarkan amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap siapa saja yang berusaha mengganggu usaha kerajaan untuk menguruskan wabak COVID-19 dan ekonomi negara.
Kami melihat langkah Perdana Menteri ini sebagai satu serangan terhadap kebebasan sivil kita dan memudaratkan demokrasi berparlimen terutamanya apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa sidang Parlimen dan DUN akan ditangguhkan selama tempoh darurat. Pengumuman ini tidak menunjukkan keperluan nyata sebagaimana dinyatakan secara tegas dalam Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan kuasa eksekutif yang tidak terikat kepada Muhyiddin, terutama ketika PKP telah diumumkan pada malam sebelumnya. Ia sangat membimbangkan kerana sekarang kita tidak lagi memiliki sebarang mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.
Sebagai masyarakat sivil, kita juga sama-sama prihatin dan komited untuk memerangi wabak tersebut. Walaupun kita berpendapat krisis kesihatan awam harus ditangani dengan segera melalui kuasa di bawah undang-undang lain seperti PKP, kuasa eksekutif yang keterlaluan tanpa memerlukan pengawasan dari parlimen atau DUN adalah satu tragedi dalam pemerintahan. Pemisahan kuasa adalah kunci kepada pemerintahan yang demokratik. Sebarang langkah yang memungkinkan fungsi, kakitangan dan kuasa pemerintahan yang tertumpu dalam satu badan tunggal harus dilihat dengan sangat berhati-hati, kerana ketiadaan semak dan imbang terhadap kemungkinan akan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pengurangan hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan.
Platform CSO untuk Perubahan sangat yakin pada pemerintahan yang baik melalui reformasi institusi, dan kami menuntut agar kerajaan menegakkan hak asasi manusia serta tidak menggunakan wabak COVID-19 sebagai alat untuk membenarkan sebarang tindakan, seperti darurat, bagi melemahkan demokrasi dan kebebasan sivil. Kami mendesak kerajaan untuk tidak mengutamakan oportunisme politik, dan sebaliknya memberi tumpuan untuk melandaikan lekuk COVID-19 dengan langkah-langkah yang ada.
Kami juga ingin menggesa orang ramai untuk turut menunjukkan perasaan tidak puas secara atas talian terhadap tindakan yang dimulakan oleh Perdana Menteri dengan menyertai kempen atas talian dengan menggunakan tanda pagar #BantahDaruratMuhyiddin.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh CSO Platform untuk Perubahan. Kami adalah gabungan 75 pertubuhan masyarakat madani (CSO) yang memberi tumpuan pada pembaharuan institusi.
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.