About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
KUALA LUMPUR: Polis digesa untuk mengemukakan alasan kukuh terhadap siasatan dilakukan membabitkan seorang aktivis yang dikatakan menghalang tugas penjawat awam dengan merakam video ketika anggota polis melakukan serbuan.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dalam satu kenyataan hari ini berkata, jika pasukan keselamatan itu gagal berbuat demikian, mereka wajar menggugurkan kes berkenaan.
“Kita mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguat kuasa undang-undang yang membolehkan amalan demokrasi secara sihat dan telus, pengukuhan sistem kedaulatan, memerangi rasuah serta memupuk sistem pemerintahan yang baik.
“CIJ tidak bersetuju dengan kenyataan Bukit Aman bahawa mengambil video dan gambar ketika polis jalankan siasatan akan menjejaskan perkara berkenaan.
“Aspek akauntabiliti dan telus perlu diamalkan mereka, berhenti guna faktor ‘kerahsiaan’ bagi menyekat kebebasan bersuara,” katanya.
Bagaimanapun, CIJ turut mengakui pentingnya bagi polis melindungi maklumat dan siasatan yang sensitif daripada didedahkan kepada orang ramai seperti isu keselamatan, pertahanan dan ketenteraman awam.
“Tetapi dalam kes ini, penyiasatan dilakukan terhadap Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) berhubung kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri urusan negara.
“Kumpulan pelajar ini memuat naik kenyataan itu di media sosial dan tidak menyentuh sebarang isu pertahanan dan keselamatan,” katanya.
Semalam, media melaporkan individu yang merakam video atau membuat siaran secara langsung ketika anggota polis melakukan serbuan atau tangkapan boleh diambil tindakan kerana ia dianggap menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta boleh mengganggu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dipetik berkata tindakan mengambil gambar atau merakam video bukan satu kesalahan jenayah, namun bukan ketika anggota polis sedang menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes.
Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Presiden UMANY, Yap Wen Qing mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu, media turut melaporkan seorang aktivis pelajar, Wong Yan Ke ditahan ketika membuat siaran secara langsung ketika polis menyerbu kediaman Wen Qing, di Petaling Jaya, Ahad lalu.
Tangkapan ke atasnya kemudian ditularkan oleh pihak tertentu di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Sumber: Berita Harian Online
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.