About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Bersempena dengan Hari Antarabangsa Untuk Akses Sejagat Kepada Maklumat (IDUAI) pada 28 September, Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Center to Combat Corruption & Cronyism (Pusat C4) ingin sekali lagi menekankan kepentingan Hak untuk Mendapatkan Maklumat (RTI) dan keperluan bagi perlindungan dan dukungan daripada pihak kerajaan dan kakitangannya sewaktu berdepan dengan krisis hari ini. Dengan kekacauan dan kerumitan yang dicetuskan virus COVID-19, askes kepada maklumat yang dipercayai dan sahih menjadi lebih penting daripada biasa.
IDUAI diiktiraf buat pertama kalinya pada tahun 2002 dan 2015, apabila UNESCO mengisytiharkan tanggal 28 September sebagai Hari Antarabangsa Untuk Akses Sejagat Kepada Maklumat. Tema tahun ini adalah “Berhak Tahu – Membina Semula Penambahbaikan Melalui Akses kepada Maklumat” yang menekankan peranan perundangan akses kepada maklumat serta pelaksanaannya dalam membina institusi yang mapan untuk kebaikan masyarakat dan pembangunan yang lestari, dan juga mengukuhkan lagi kerjasama antarabangsa dalam mempromosi dan menerapkan Hak untuk Mendapatkan Maklumat (RTI) sebagai hak asasi manusia.
Pada waktu ini, di Malaysia, hanya Selangor dan Pulau Pinang sahaja yang mempunyai enakmen Kebebasan Maklumat (FOI), yang mengiktiraf dan mendukung prinsip asasi RTI di peringkat negeri. Malaysia belum mempunyai sebarang perundangan yang menyeluruh bagi data simpanan kerajaan dan enakmen-enakmen negeri ini dibatasi Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) di peringkat persekutuan. Perundangan ini, dan beberapa yang lain seperti Akta Bukti, Akta Hasutan, dan peruntukan-peruntukan Kanun Keseksaan tertentu kerap digunakan secara sembarangan bagi menutup suara-suara yang membangkang dan memperjuangkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban. Perundangan hal-ehwal kerahsiaan ini juga menyekat pengetahuan umum dan pemantauan terhadap kerajaan, yang akhirnya menyebabkan kegiatan korupsi dan salah laku pengurusan berterusan tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Kami mengulangi semula pendirian untuk menggesa pemansuhan OSA, Akta Hasutan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan, dan perundangan lain yang menyekat akses masyarakat terhadap data-data simpanan kerajaan. Tanpa pemansuhan undang-undang tersebut, kebebasan bermaklumat akan terus dikekang dan terhad di Malaysia.
Dalam usaha kita membanteras wabak COVID-19 dan segala infodemik yang berkaitan, kita juga mengambil maklum beberapa isu alam sekitar baru-baru ini seperti tanah runtuh di Penampang (Sabah), Cameron Highlands (Pahang), nyahwarta hutan simpan (misalnya Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara, Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah 21 kali dinyahwarta) namun maklumat tentangnya masih berkurangan buat masyarakat umum. Insiden-insiden ini bukan sahaja memberikan kesan kepada masyarakat setempat, bahkan rakyat malaysia secara umumnya, apabila akses terhadap maklumat ini terhad. Tahun ini saja, terdapat beberapa kes pencabulan hak asasi rakyat bagimendapatkan maklumat seperti Majlis Bandar Shah Alam (MBSA) yang menafikan hak media untuk membuat liputan berkenaan rapat umum, penyembunyian maklumat berkaitan COVID-19, dan kegagalan untuk mendedahkan kos projek mega infrakstuktur.
Pendedahan maklumat pada waktu yang genting seperti ini boleh menggalakkan dan memulihkan semula kepercayaan umum. Hal ini membantu pihak awam untuk mendapat maklumat yang secukupnya dan mampu memberi pandangan berkenaan isu yang melibatkan mereka, termasuklah memastikan pihak kerajaan dan badan-badan yang berkaitan bertanggungjawab atas segala tindak tanduk mereka. Ianya juga menggalakkan penglibatan yang konstruktif dalam perdebatan dan perbincangan berkenaan dengan proses penentuan yang tertentu melibatkan kepentingan awam, lantas turut mendukung ketelusan dan memberdayakan demokrasi yang menyeluruh, tadbir urus yang baik dan pengkukuhan kedaulatan undang-undang.
Bagi membaik pulih keadaan sekarang, kami menggesa pihak kerajaan untuk menambah kakitangan kerajaan dan melatih pegawai maklumat ini secukupnya. Kami turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan untuk membanteras COVID-19 yang berpotensi menyekat akses kepada maklumat mestilah berpandukan undang-undang, mustahak, berpatutan dan bersifat sementara, serta tujuan utamanya mestilah bagi menguruskan krisis kesihatan awam. Dalam hal ini, kerajaan harus berusaha memastikan akses buat organisasi media untuk mendapatkan maklumat berkenaan dengan krisis dan kepentingan awam diberikan secara adil dan saksama.
Tambahan lagi, prinsip pendedahan maksimum dokumen yang melibatkan kepentingan awam harus sentiasa dipatuhi oleh pemerintah dan pengujian bahaya harus dilaksanakan bagi memastikan ianya sah, mustahak, dan berpatutan sebelum akses kepada maklumat tersebut disekat dan pendedahannya disabitkan sebagai jenayah. Tiada siapa yang sewajarnya dihukum atas alasan keselamatan nasional sekiranya mereka mendedahkan maklumat yang tidak mendatangkan bahaya, dan kepentingan awam terhadap maklumat tersebut jauh lebih tinggi daripada bahaya dari pendedahan yang dibuat.
CIJ dan Pusat C4 berharap pihak kerajaan akan terus komited bagi memansuhkan OSA dan menggubal perundangan RTI. Sudah tiba masanya untuk menggantikan budaya kerahsiaan di peringkat persekutuan ini dengan budaya yang berpaksikan keterbukaan bagi memenuhi permintaan umum yang mahukan ketelusan dan kebertanggungjawaban di kesemua peringkat pentadbiran.
#KitaBerhakTahu
#MyRightToKnow
28 September 2021
Disediakan oleh:
Centre for Independent Journalism
Center to Combat Corruption & Cronyism (Pusat C4)
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.