About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
KUALA LUMPUR – Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) amat bimbang dengan tindakan polis Malaysia yang melakukan serbuan di pejabat biro Al Jazeera malam tadi menyifatkan kerajaan melancarkan serangan terhadap media tersebut ekoran penerbitan dokumentari ‘Locked Up In Malaysia’s Lockdown’ yang dikecam hebat oleh pemimpin negara.
Dokumentari itu sebelum ini didakwa menggambarkan secara tidak tepat dan mengelirukan, penganiayaan ke atas buruh migran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu berkata, sehingga kini kerajaan masih belum tampil menjawab dakwaan Al Jazeera dengan fakta sahih serta bukti bagi menunjukkan bahawa hak asasi kelompok migran tidak dinafikan semasa PKP.
”Dengan demikian, kami menegaskan gesaan kami agar kerajaan menjalankan penyiasatan bebas ke atas dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan dalam dokumentari tersebut dan tindakan lanjut diambil berdasarkan hasil siasatannya,” kata Wathshlah.
Menurutnya, tindakan ke atas Al Jazeera, susulan dari tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini berdasarkan komen-komen pembaca, serta siasatan terhadap wartawan CodeBlue, Boo Su-Lyn dan koresponden South China Morning Post, Tashny Sukumaran berkait penyiaran kandungan yang dilabel sebagai kritikal, merupakan isyarat satu usaha terancang oleh kerajaan untuk mendiamkan suara dan laporan-laporan kritikal atau menentang yang berpotensi memberikan gambaran buruk terhadap sebarang tindakan kerajaan.
Ini merupakan ancaman serius terhadap hak mendapatkan maklumat serta kebebasan bersuara dan berekspresi.
“Kami amat risau sekiranya tindakan sebegini berterusan, asas demokrasi negara akan terancam dan kepentingan politik akan terus melangkaui kepentingan rakyat.
”Kami tidak berhasrat agar kredibiliti Malaysia sebagai sebuah negara direndahkan di peringkat antarabangsa, rentetan dari tindakan-tindakan yang menonjolkan sifat tidak hormat serta ketidakpatuhan terhadap prinsip-prinsip hak asasi manusia berkait kebebasan berekspresi dan kebebasan bersuara yang diterima di peringkat antarabangsa.
”Sebagai badan pemantau media, kami memandang berat kemungkinan posisi Malaysia di Indeks Kebebasan Media dunia akan menjunam, setelah baru-baru ini mencatatkan penambahbaikan,” jelasnya.
Susulan itu, CIJ menggesa kerajaan dan agensi-agensi berkaitan menggugurkan siasatan serta hentikan semua tindakan intimidasi terhadap Al Jazeera dan agensi-agensi media terkait seperti ASTRO dan UnifiTV, pemberi maklumat dan semua pihak terkait dokumentari tersebut.
Kerajaan juga diminta mempromosikan kebebasan media serta mewujudkan lingkungan yang membantu media bertugas secara bebas tanpa rasa takut kemungkinan menanggung kesan dari tugas yang dijalankan untuk menghasilkan
laporan.
Ini memerlukan komitmen dari pihak kerajaan, melangkaui retorik dan bertindak memenuhi janji-janji yang telah pun dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, menegaskan bahawa kerajaan akan mempromosikan kebebasan media serta meminda undang-undang yang mengekang kebebasan media.
Selain itu, mengumumkan moratorium ke atas penggunaan undang-undang mengekang yang kerajaan telah berkomitmen untuk memperbaiki, termasuk Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Badan Pembangunan Filem Nasional (Finas) 1981, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Rahsia Rasmi 1972,
dan melanjutkan proses penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai badan kawalan kendiri yang bebas bagi industri media, gesaan yang telah dibuat berulang kali oleh CIJ dari awal tahun ini sejak pertukaran kerajaan berlaku.
Wathshlah berkata, penubuhan Majlis Media akan mengelakkan institusi negara dari menjadi penimbang tara tunggal kebenaran atau secara sepihak melakukan tapisan atau menghukum media yang dilihat kritikal.
Tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan agar tindakan segera diambil dan tidak membenarkan kebebasan media di Malaysia untuk kembali ke zaman kelam, yang mana wartawan dilarang dari atau dihukum kerana menjalankan tugas, serta media beroperasi dalam suasana ketakutan. – MalaysiaGazette
Sumber: MalaysiaGazettte
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.