About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Aktivis kebebasan bersuara membantah memo dikeluarkan baru-baru ini kepada penyiar yang menghalang mereka daripada menunjukkan pakaian dalam ketika segmen beli-belah dari rumah.
The Malay Mail melaporkan semalam, Lembaga Penapisan Filem (LPF) menghantar notis kepada dua stesen penyiaran tempatan mengarahkan mereka tidak menunjukkan pakaian dalam tidak kira sama ada ia dipakai oleh model atau patung.
Alasan yang diberikan adalah “sebarang paparan visual yang tidak senonoh, termasuk iklan pakaian dalam, akan tetap menyinggung perasaan masyarakat”.
“Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri berpendapat bahawa isi kandungan iklan seperti yang disebut (pakaian dalam) tidak sesuai untuk tontonan umum … dan semua siaran serupanya harus dihentikan segera,” kata surat itu, seperti dipetik portal berita berkenaan.
Anna Har, pengasas bersama Freedom Film Network, berkata keputusan itu adalah satu lagi contoh penapisan yang tidak perlu di Malaysia.
“Sejak bila pakaian dalam menyinggung perasaan? Sudah bertahun-tahun ia dijual di pasar malam dan pasar raya. Kita bukan bercakap tentang pornografi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, tidak masuk akal LPF diletakkan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), memandangkan mereka tidak memiliki kepakaran yang diperlukan untuk bidang seperti itu.
“Ini peninggalan 1950-an, ketika penapisan propaganda menjadi isu keselamatan negara. Anda tidak mahu pesanan Jepun atau komunis, misalnya, disiarkan kepada negara,” jelasnya.
“Namun jelasnya semua sudah berubah sekarang, jadi anda harus mempersoalkan mengapa KDN mempunyai kuasa atas perkara seperti ini sekarang.”
Sebaliknya, meletakkan LPF atau badan setandingnya bawah kementerian yang lebih sesuai, seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), atau Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, lebih wajar.
“Sebagai contoh, KKMM mempunyai forum industri yang dikendalikan sendiri untuk memantau isi kandungan dalam talian. Ia disertai penggiat industri dan kumpulan-kumpulan berkepentingan yang berbeza. Mereka adalah individu yang mempunyai pengalaman yang bersesuaian,” katanya.
“Agenda KDN – dan saya tidak salahkan mereka – adalah memastikan tidak ada yang mengadu untuk membendung kemungkinan kekacauan umum. Jadi kriteria mereka adalah berkenaan keselamatan, apabila ia juga harus merangkumi nilai kreatif dan komersial.”
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) juga mengecam keputusan tersebut, dengan menggelarnya “penapisan sewenang-wenang, intimidasi media dan pengawasan moral”.
“Hujah lazim untuk menyokong penapisan adalah konsep kesopanan dan moral harus sentiasa menang, dan oleh itu, undang-undang dan sekatan harus ada untuk melindungi standard tersebut demi kemajuan masyarakat,” kata Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu.
“Namun, harus diingat bahawa konsep-konsep ini membawa makna yang berbeza bagi setiap orang, dan apa yang tidak senonoh bagi seseorang mungkin dapat diterima oleh orang lain. Oleh itu, penggunaan undang-undang dan sekatan seperti itu dalam senario sebegini tidak harus digalakkan.”
Tambahnya, penapisan seperti itu tidak mengambil kira perkadaran, dan beliau mempersoalkan bahaya yang dapat ditimbulkan oleh isi kandungan yang dilarang.
“LPF mesti menjelaskan mengapa iklan tersebut dianggap ‘menyinggung’ dan ‘tidak senonoh’, dan bagaimana ia mempengaruhi ‘sensitiviti masyarakat pelbagai etnik dan agama’.”
“Kegagalan berbuat demikian dapat ditafsirkan sebagai LPF memaksa bias dan prejudis moralnya bertujuan untuk menapis apa sahaja yang berkait atau menggambarkan anggota dan imej tubuh badan.
“Kerajaan dan penguatkuasaannya harus menggalakkan perbincangan dan pendidikan yang sihat mengenai integriti tubuh badan, berbanding menimbulkan lebih banyak bahaya dengan menjadikan topik-topik ini sebagai taboo.”
Source: Free Malaysia Today
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.