About CIJ
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
Archive
Hak untuk Mendapatkan Maklumat (RTI) diiktiraf sebagai hak kemanusiaan yang asasi di bawah Artikel 19 dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Ianya menyatakan “Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”
RTI berasal dari premis asasi bahawasanya kesemua maklumat yang dimiliki oleh kerajaan dan institusi kerajaan adalah secara prinsipnya milikan awam, dan hanya boleh disekat atau tidak didedahkan sekiranya wujud sebab yang munasabah, seperti keselamatan nasional atau maklumat peribadi.
RTI memberdaya rakyat bagi mendapatkan maklumat daripada pihak kerajaan dan organisasi awam melalui pertanyaan terhadap dokumen kerajaan atau salinannya.
Secara global, sejumlah 129 negara yang mempunyai peruntukan undang-undang RTI setakat Mei 2019. Sweden merupakan negara pertama yang memiliki undang-undang RTI sejak tahun 1766. Amerika Syarikat pula menggubal undang-undang RTI mereka 200 tahun kemudian iaitu pada tahun 1966.
Lima negara di Asia Tenggara mempunyai undang-undang RTI; Thailand (1997), Indonesia (2008), Vietnam, Philippines dan Timor-Leste menggubal undang-undang RTI mereka pada 2016.
Capaian kepada Maklumat adalah keupayaan untuk mencari, menerima, dan berkongsi maklumat.
Kebebasan Maklumat adalah kebebasan bagi seseorang untuk menerima dan menggunakan maklumat awam yang dipegang oleh pihak berkuasa.
meletakkan capaian kepada maklumat dalam kerangka hak asasi manusia, dengan masyarakat awam sebagai pemilik hak dan pihak berkuasa, termasuklah kerajaan, sebagai penjaga hak. Oleh itu, pemerintah mempunyai tanggungjawab secara terus untuk memastikan masyarakat awam mempunyai capaian terhadap maklumat yang diselia oleh pihak berkuasa, dan hanya boleh disekat atas sebab yang munasabah seperti hal keselamatan nasional, maklumat peribadi, atau mendatangkan bahaya kepada orang awam.
Di Malaysia, Hak untuk Mendapatkan Maklumat tidak dijamin secara jelas dalam bentuk undang-undang namun kerap ditafsir di bawah skop Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara, berucap dan berkumpul.
Sungguhpun begitu, kerajaan Selangor dan Pulau Pinang mengiktiraf dan mendukung hak untuk mendapatkan maklumat, walaupun ianya masih terhad dalam lingkungan kuasa kerajaan negeri.
Akta Rahsia Rasmi dan peruntukan undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan, seksyen 203A yang turut mensabitkan jenayah bagi pendedahan tanpa izin akan maklumat oleh kakitangan kerajaan ke ruang awam adalah penghalang utama bagi pelaksanaan hak ini.
Hak untuk mendapatkan maklumat adalah hak yang penting bagi setiap hak kebebasan yang lain kerana masyarakat memerlukan maklumat bagi membuat sesuatu pilihan yang bernas serta memastikan pemerintah bertanggungjawab terhadap tindakan mereka. Ianya adalah maklumat yang berkaitan dengan hak kita untuk hidup dalam suasana yang sihat dan telus, hak untuk bersuara secara bebas, hak untuk bekerja dalam keadaan yang selamat, hak untuk mendapat gaji yang setimpal, dll.
RTI menggalakkan masyarakat awam untuk membentuk pandangan mereka terhadap isu-isu yang dekat dengan keadaan mereka. Berbekalkan maklumat yang ada, masyarakat dapat melibatkan diri secara aktif dalam proses penentuan pilihan yang melibatkan kepentingan awam. Antara pendekatan yang paling efektif bagi mendepani isu tadbir urus yang teruk adalah melalui perbahasan yang terbuka dan berdasarkan fakta. Hak untuk Mendapatkan Maklumat juga menyumbang kepada keterbukaan dan ketelusan dalam kerajaan, serta menjadi sarana yang penting bagi melawan dan mencegah korupsi dan ketidaksamarataan.
Bahkan, RTI juga berperanan memberdayakan keupyaan dan kesaksamaan bagi setiap kumpulan sosial, termasuk wanita dan orang asal. Ianya juga terkait dengan keberkesanan operasi pasaran, peningkatan terhadap keadaan pelaburan dan kadar keberkesanan bantuan pembangunan.
Kesimpulannya, RTI adalah elemen penting bagi semua aspek pembangunan dan pemberdayaan sivil, politik, ekonomi, sosial dan budaya.
Maklumat yang diselia oleh institusi awam adalah maklumat yang sebenarnya milikan awam.
Oleh itu, kerajaan hendaklah mendukung prinsip pendedahan secara maksimum dan proaktif. Kita harus meninggalkan budaya berahsia dan menuju kepada keterbukaan dan ketelusan. Hal ini memerlukan komitmen dari pihak kerajaan untuk menggubal undang-undang yang mampu membina sistem maklumat yang lebih progresif.
Ya. RTI tidaklah bersifat mutlak dan boleh disekat atas sebab-sebab yang terhad, dan tujuan mendukung kepentingan dan keselamatan awam.
Pihak pemerintah dan agensi berkuasa hendaklah menyatakan sebab untuk tidak mendedahkan sesuatu maklumat. Maklumat tidak boleh disekat hanya kerana ianya memalukan dari sudut politik atau boleh menghilangkan keyakinan terhadap kerajaan.
Dalam suasana yang sangat mencabar hari ini, terutamanya sewaktu kita bergelut dengan wabak COVID-19, capaian terhadap maklumat dengan pantas, sahih, dan boleh disemak dapat membantu pihak awam untuk lebih maklum terhadap isu yang memberi kesan kepada mereka. Masyarakat awam berhak untuk tahu di mana untuk mereka bertanyakan lebih banyak persoalan, bagaimana untuk mencapai maklumat sekiranya ada persoalan lanjutan terhadap kandungan yang diterbitkan oleh laman sesawang rasmi atau berita.
Hal ini sangatlah bermanfaat buat masyarakat awam sekiranya pemerintah mendedahkan maklumat secara pantas dan terbuka. Model perkongsian data yang bagus untuk dirujuk adalah portal CovidNOW oleh Kementerian Kesihatan yang dilancarkan baru-baru ini. Orang awam akan lebih mempercayai pihak kerajaan yang bersikap terbuka dalam berkongsi data serta mampu memberikan impak yang positif pada agensi kerajaan dan pemegang taruh sendirian dalam berkhidmat kepada masyarakat.
Antara contoh yang lain adalah apabila komuniti dapat akses yang munasabah terhadap maklumat penting seperti laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) berkenaan dengan cadangan pembangunan di kawasan tempat tinggal mereka. Hal ini penting buat komuniti untuk merangka strategi dan merancangan tindakan kolektif mereka.
Berbekalkan maklumat yang ada, masyarakat awam lebih maklum akan isu atau situasi tertentu, justeru lebih bersedia untuk membuat keputusan dan bertindak bagi membaik pulih keadaan mereka atau mendepani kegusaran mereka terhadap dasar, peraturan atau projek infrastruktur yang diusulkan.
Adalah penting juga buat masyarakat awam untuk membina kemahiran literasi maklumat. Rakyat yang berpengetahuan boleh membezakan antara maklumat sahih dan maklumat palsu, serta mampu membezakan antara maklumat yang patut didedahkan di ruang awam dan maklumat yang sewajarnya kekal bersifat peribadi.
Dalam mengangkat budaya ketulusan dan keterbukaan, pihak pemerintah haruslah menuruti standard berikut bagi menggalakkan dan melindungi hak untuk Mendapatkan Maklumat, termasuklah melalui pelaksanaan undang-undang RTI.
Terbuka secara Tetap
Maklumat kerajaan sewajarnya menjadi maklumat awam. Kita mahukan capaian terhadap kesemua maklumat, kecuali wujud sebab-sebab yang munasabah untuk menyekatnya.
Penerbitan Berkala dan Proaktif
Kerajaan harus menerbitkan kesemua maklumat mereka secara proaktif di laman-laman yang sesuai dan memastikan ianya sentiasa disemak secara berkala dan mudah dicapai. Hal ini membolehkan orang awam untuk mendapatkan maklumat dengan pantas dan sewaktu ianya diperlukan, serta dapat bergantung secara terus untuk memohon pendedahan sesuatu maklumat atau bergantung pada budi bicara kerajaan mendedahkan atau menyekat maklumat yang dirasakan perlu didedahkan atau disekat.
Badan pemantauan dan pentadbiran yang bebas
Kerajaan tidak seharusnya menjadi pengawal selia dan menjadi pemutus bagi apa yang masyarakat harus tahu atau bagaimana untuk memperoleh maklumat. Sewajarnya satu badan pentadbiran diwujudkan bagi menyelia proses dan prosedur yang sesuai berfungsi dengan baik bagi menjamin capaian terhadap maklumat terus relevan bagi kepentingan awam.
Menggalakkan keterbukaan kerajaan
Kakitangan kerajaan seharusnya dilatih dengan budaya menyampaikan maklumat kepada orang awam, dan bukannya menghalang mereka daripada mendapatkannya.
Pengecualian
Sesetengah perkara boleh disekat dan tidak didedahkan, seperti data dan maklumat peribadi yang boleh menggugat keselamatan nasional. Harus wujud sebab yang munasabah, penting dan berpatutan untuk menyekat sesuatu maklumat. Senarai pengecualian haruslah dinyatakan dengan jelas dalam peruntukan undang-undang dan harus tidak terlalu umum dan terbuka untuk penafsiran yang tidak jelas.
Ujian mara bahaya juga harus dijalankan bagi melindungi kepentingan awam sebelum sebarang sekatan terhadap mana-mana maklumat.
Kos
Orang awam seharusnya tidak dikenakan bayaran bagi mendapatkan maklumat atau data yang diselia oleh pihak berkuasa. Sebarang kos hendaklah dihadkan pada kadar yang minimal dan hanya untuk membiayai kerja-kerja seperti percetakan dan fotokopi.
Penilaian peruntukan undang-undang lain
Penting untuk memastikan pelaksanaan RTI tidak disekat oleh undang-undang lain yang sedia ada. Penilaian secara menyeluruh dan pindaan undang-undang atau peruntukan yang bercanggah dengan RTI harus dilaksanakan.
Melindungi Pengadu
Sekiranya anda mendedahkan rasuah, anda seharusnya diberikan ganjaran dan bukannya dihukum atau dipindahkan ke tempat yang jauh.
Di Pulau Pinang dan Selangor, melalui Enakmen Kebebasan Maklumat, anda boleh menghantar permohonan untuk maklumat.
Kenal pasti jabatan yang berkenaan.
Lengkapkan Borang Permohonan untuk Mendapatkan Maklumat
The Centre for Independent Journalism is a non-profit organisation promoting media independence and freedom of expression in Malaysia.
2 Comments
[…] BAHASA MALAYSIA MANDARIN TAMIL KADAZAN-SABAH […]
[…] BAHASA MALAYSIA MANDARIN TAMIL KADAZAN-SABAH […]